Skip to main
Logo Malaysiakini

Sheriff tembusi pasaran Hong Kong

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pengarah Syafiq Yusof mengumumkan filem arahannya, Sheriff: Narko Integriti akan menembusi pasaran Hong Kong bermula 6 Jun ini.

Syafiq berkongsi berita gembira buat peminat filem itu melalui platform X baru-baru ini.

“Berita baik untuk filem Malaysia... selepas tayangan di Indonesia, filem Sheriff: Narko Integriti bakal tembusi pawagam-pawagam di Hong Kong.

“Tayangan di Hong Kong bermula 6 Jun 2024. Majulah Filem Malaysia!” ciapnya.

Tiga hari lalu, Astro Shaw mengumumkan filem diterajui bintang seperti Zul Ariffin dan Syafiq Kyle itu berjaya mendominasi pawagam bahkan telah mencapai kutipan sebanyak RM60.5 juta.

Filem itu mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 18 April lalu.

Syafiq bersama bapanya, Yusof Haslam

Sheriff: Narko Integriti menembusi pawagam Indonesia pada 23 Mei ini.

Berita itu juga meraih perhatian pengarah filem ternama Indonesia, Joko Anwar.

Pengarah filem aksi Gundala dan terkenal dengan genre seram itu berkata, dia akan segera menonton filem berkenaan sebaik ia menjengah pawagam di sana.

“Nampak hebat. Saya akan segera layan di panggung Indonesia, Syafiq!” ciapnya di X.

Hantaran tersebut merupakan respons kepada permintaan Syafiq sebelum ini yang berharap pengarah yang menjadi idolanya itu berkesempatan menonton karya terbarunya.

“Untuk teman-teman di Indonesia yang saya kasihi, mohon ditonton filem Sheriff: Narko Integriti di bioskop-bioskop (pawagam) CGV Cinemas Indonesia.

“Inilah karya ikhlas dari saya buat bumi Nusantara.

“Impian saya adalah untuk idola saya iaitu Pak Joko Anwar bisa (boleh) menonton filem ini. Salam hormat daripada warga serumpun,” katanya lagi.