Skip to main
Logo Malaysiakini

'Berkat' dimarah Cikgu Halimah, Rosyam jadi pelakon

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pelakon dan penerbit, Rosyam Nor, mengimbau kenangan ketika dia dimarahi seorang guru kerana malas belajar sewaktu melalui zaman persekolahan.

Kata Rosyam, kata-kata itu masih diingati hingga kini dan dipesan oleh gurunya yang bernama Cikgu Halimah, ketika dia di tingkatan lima.

“Ini cikgu aku semasa tingkatan lima. Cikgu Halimah. Dia sudah 79 tahun. Alhamdulillah dia masih sihat dan hadir pada malam gala #memoirseorangguru.

“Dia pernah marah aku, katanya: 'Kalau hang (kamu) tak suka belajar hang jadi pelakon aje (saja),” katanya di Instagram.

Mengiringi hantaran itu, Rosyam memuat naik klip video dia bersalaman dengan Cikgu Halimah yang berpakaian serba merah jambu sewaktu majlis tayangan filem Memoir Seorang Guru di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk rekod, Rosyam melakonkan watak seorang guru yang panas baran bernama Cikgu Sunan. Disebabkan barannya itu, Cikgu Sunan ditukar ke kawasan pedalaman dan mengajar sebuah kelas yang sering mendapat markah tercorot dalam peperiksaan.

Filem itu adalah adaptasi daripada novel penulis terkenal berasal dari Kulim, Kedah, Azizi Abdullah, yang berjudul sama.

Azizi juga merupakan seorang guru semasa hayatnya dan menjadi penerima Anugerah Penulis SEA 1998 mewakili Malaysia. Selain menulis dia juga merupakan aktivis politik.

Azizi Abdullah

Selain Rosyam, Memoir Seorang Guru arahan Kyrol Hamzah itu turut dijayakan Nabila Huda, Johan As’ari, Trisha Ooi, Zul Huzaimy selain pelakon cilik seperti Kiky Hannah, Danish Zamri, Baqir Jamalullail, Hafiy Al Tamis, Dhiya Raidah dan Rafique Iskandar.

Filem itu akan menjengah pawagam 30 Mei ini.

Rosyam, 57, juga beranggapan kata-kata Cikgu Halimah boleh diibaratkan sebagai doa yang akhirnya membawa berkat dalam karier seninya.

Menurut pelakon itu berkat doa guru tersebut dia berjaya menempa nama sebagai seorang pelakon.

"Semua itu jadi memoir untuk aku. Korang (kamu) ada ke memoir dengan guru korang?” katanya.