Skip to main
Logo Malaysiakini

Meerqeen: Tiada keperluan uar-uarkan sumbangan untuk Palestin

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pelakon Meerqeen beranggapan tiada keperluan untuk dia menguar-uarkan sumbangannya yang dibuat kepada Palestin selama ini.

Aktor terbabit mengulas demikian susulan namanya disenarai dalam gerakan #Blockout2024 kerana terbabit mempromosi produk dikaitkan dengan Israel.

Meerqeen menegaskan, meskipun kini namanya termasuk senarai untuk diboikot, dia tidak pernah mengabaikan isu kekejaman Zionis terhadap Palestin.

“Mungkin siapa yang tidak ikut saya di Instagram tak tahu apa saya buat. Saya tetap sokong Palestin dan beri sumbangan kepada penduduk di sana.

“Bua apa saya hendak tunjuk perkara itu kepada umum. Apa pun, pengikut saya tahu pegangan saya dalam isu ini,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu bagaimanapun memohon maaf sekiranya ada tindakan yang diambil mengguris ramai pihak.

Bagi Meerqeen, 22, sebagai orang Melayu Islam dia memang harus menyatakan sokongan terhadap Palestin.

“Kita rakyat Malaysia perlu sokong Palestin dan pada saya, tiada Melayu Islam yang menyokong Israel.

“Saya minta maaf sekiranya ada buat segelintir pihak tidak senang.

“Sejak 2002 saya bersuara isu Palestin dan selalu berkongsi di media sosial,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Cinta Untuk Sekali Lagi dan Bunga Salju di Zebra Square, di Kuala Lumpur, semalam.

#Blockout2024 diwujudkan bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan bermula di Hollywood selepas berakhirnya majlis Met Gala pada 6 Mei lalu itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti tanah air yang masih mempromosikan produk dikaitkan dengan Israel di media sosial milik mereka.

Gerakan tersebut disambut baik oleh netizen Malaysia yang juga menyenaraikan beberapa nama artis seperti Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.

Rata-rata netizen mula menyah ikut dan menyekat media sosial selebriti yang dikenal pasti walaupun mereka adalah personaiti kegemaran masing-masing.

Mengulas mengenai kontrak bersama jenama pro-Israel, Meerqeen berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.

“Kontrak dalam perbincangan dengan pihak pengurusan,” katanya.