Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas ratu cantik masih simpan baju malam diserang secara seksual

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Bekas model yang menuduh mogul hip hop, Sean Diddy Combs menyerangnya secara seksual berkata dia masih menyimpan dan tidak pernah mencuci pakaian yang dipakai pada malam kejadian itu.

Dalam tuntutan mahkamah, Crystal McKinney berkata, pakaian itu dibalut dalam beg plastik selama lebih dua dekad, selepas dia mendakwa diberi dadah dan diserang secara seksual oleh Sean di studio rakamannya pada 2003.

Menurut tuntutan mahkamah yang difailkan minggu ini di New York, Crystal selaku plaintif berkata dia bertemu Sean kerana diberitahu penyanyi rap itu boleh membantunya ‘memajukan kerjayanya sebagai model.’

Namun sebaliknya, Crystal diberi ganja dan alkohol sebelum dipaksa melakukan seks oral pada penyanyi rap itu.

Crystal pada masa sama percaya Sean ‘membuang’ dia dari industri berikutan insiden terbabit dan kemudian melihat kariernya musnah hingga mengakibatkannya cuba bunuh diri pada 2004.

Untuk rekod, nama Crystal mula meraih perhatian sebagai model pada usianya 17 tahun apabila dia memenangi pertandingan ratu cantik MTV yang pertama, Model Mission pada 1998.

Kejayaan awalnya menyebabkan dia diundang ke acara Minggu Fesyen Lelaki pada 2003 di New York.

Memetik orang yang dinamakan hanya sebagai “seorang pereka fesyen” dalam tuntutan mahkamah, Crystal berkata mereka mengatur pertemuan untuk dia bertemu penyanyi rap itu serta menukar keseluruhan imej untuk menarik perhatiannya.

Daily Mail melaporkan, Crystal berkata, dia menyimpan baju berkenaan susulan insiden traumatik yang berlaku kemudian serta tidak pernah mencucinya sebelum menyimpan pakaian berkenaan dalam almari di mana ia kekal disimpan dalam balutan plastik.

Dalam aduan tersebut, Crystal yang ketika itu baru berusia 22 tahun berjumpa Sean pertama kali untuk makan malam di sebuah restoran, di mana penyanyi itu menghampirinya secara seksual serta memintanya untuk menghubunginya kemudian.

Walaupun keliru, Crystal masih berharap Sean dapat memenuhi janji untuk membantu kariernya apabila penyanyi rap itu menjemputnya ke studio pada malam itu.

Sebaik tiba di studio berkenaan, Crystal menyertai Sean yang sedang minum alkohol dan menghisap ganja bersama rakan-rakannya.

Selepas berasa terlalu khayal, Crystal meminta untuk berhenti namun mendakwa Sean berterusan menambah kedua-dua bahan tersebut.

Ketika itulah dakwanya, Sean menariknya ke tandas dan memaksanya melakukan seks oral namun perbuatan tersebut dibantah oleh bekas ratu cantik itu.

Crystal berkata dia kemudian pengsan sewaktu di studio dan sebaik terjaga, dia mendapati dirinya berada dalam teksi di bahagian belakang dan dalam perjalanan pulang ke apartment pereka fesyen terbabit.

Dalam aduannya itu, plaintif berkata, dia menyedari dia telah diserang secara seksual oleh Sean.

Crystal merupakan individu terbaru yang tampil mengemukakan dakwaan terhadap Sean. Penyanyi I’ll Be Missing You itu kini berdepan tujuh tuntutan mahkamah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Setakat ini, Sean masih belum didakwa atas sebarang jenayah.

Baru-baru ini, nama Sean kembali menjadi bualan selepas video lama dia memukul bekas kekasihnya, Cassie Ventura pada 2016 tersebar.

Susulan itu, Sean tampi membuat permohonan maaf secara terbuka melalui Instagram dengan mengakui dirinya ‘jijik’ dengan perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, dalam permohonan maaf itu, Sean tidak langsung menyebut nama bekas kekasihnya itu.