Skip to main
Logo Malaysiakini

Rossa puji gerakan Blockout2024 di Malaysia

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Penyanyi terkenal Indonesia, Rossa memuji keazaman rakyat Malaysia menunjukkan bantahan terhadap kekejaman yang dideritai Palestin melalui gerakan boikot #Blockout2024.

Rossa berkata, ia kerana dia tidak merasakan bahang boikot yang sama di Indonesia.

“Boleh saya katakan, gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Indonesia. Impak #Blockout hanya di Malaysia.

“Ini mungkin kerana sebahagian di Indonesia mempunyai pemikiran berbeza-beza,” katanya.

Bagaimanapun, kata pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handayani itu, ia tidak bermaksud rakyat Indonesia langsung tidak menunjukkan tanda solidariti kepada sesama saudara Islam di bumi Palestin.

“Setiap hari minggu pasti ada perhimpunan diadakan di Indonesia bagi memperjuangkan nasib rakyat yang berdepan keganasan rejim zalim itu,” katanya.

Rossa berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Rossa adalah antara barisan artis yang bakal memeriahkan tersebut yang akan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September depan.

Selain Rossa, 45, konsert anjuran syarikat Mega Eve itu bakal dijayakan oleh Dayang Nurfaizah dan Raja Pop, Jamal Abdillah manakala seorang lagi artis masih belum didedahkan identitinya.

Lima peratus daripada hasil tiket Konsert Divas & Diamonds akan diserahkan terus kepada pegawai kedutaan Palestin untuk membantu mereka di Gaza.

#Blockout2024 dilancarkan selepas majlis Met Gala di New York, Amerika Syarikat pada 6 Mei lalu dan bertujuan memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk yang menyokong kekejaman Israel di Palestin.

Tarikh itu juga bersamaan dengan hari Israel mengarahkan penduduk di Timur Rafah untuk berpindah ke lokasi ‘selamat’ bagi melancarkan operasi di Selatan Gaza.

Antara selebriti Malaysia yang tersenarai dalam boikot itu adalah Meerqeen, Nadhir Nasar, Nabila Razali, Daiyan Trisha, Mira Filzah, Siti Saleha, Neelofa, Awal Ashaari dan Scha Alyaha.

Pengguna alam maya mula menyahikut dan menyekat media sosial selebriti yang tersenarai.

Pada masa sama, Rossa yang juga penyanyi Atas Nama Cinta itu memaklumkan dia tidak lagi mempromosikan jenama yang dikaitkan dengan regim Zionis.

“Saya tidak promosi barangan jenama pro Israel tapi kalau untuk tujuan kerja selagi ia bukan hard sell saya tidak kisah terbabit dalam acara mereka,” katanya lagi.