Skip to main
Logo Malaysiakini

Wartawan kecewa dua jam terbazir tunggu Putri Ariani

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Tindakan pihak pengurusan penyanyi Indonesia, Putri Ariani, enggan menyambung semula sesi temu bual dengan media tempatan sempena sidang media Walker World Tour 2024 hari ini dianggap tidak mencerminkan sikap profesional sepatutnya.

Menurut wakil penganjur, bapa penyanyi yang popular melalui pertandingan America’s Got Talent (AGT) itu yang tidak membenarkan personaliti berkenaan kembali bertemu media.

Bagaimanapun tiada alasan kukuh diberikan di sebalik pembatalan sesi temu bual tersebut walaupun wartawan menunggu lama.

“Maaf, bapanya baru maklumkan Putri Ariani tak akan turun bertemu media untuk menyambung semula sesi temu bual yang tertangguh.

“Maaf juga media terpaksa tunggu hampir dua jam,” katanya.

Terdahulu, media tempatan hanya diberi peluang bertanyakan tiga soalan kepada Putri Ariani, 18, namun jawapan yang diberikan dilihat kurang memuaskan ekoran kegagalan dia memberikan respon dengan dengan baik.

Sesi temu bual itu kemudian dihentikan apabila pihak pengurusan bergegas membawa penyanyi terbabit keluar dari dewan atas alasan dia belum bersarapan.

Sejurus selepas itu wakil penganjur berjanji akan membawa Putri Ariani bertemu media semula bagi meneruskan sesi temu bual yang tertangguh.

Menyinar dalam AGT

Sidang media tersebut asalnya dibuat untuk membolehkan Putri Ariani mempromosikan konsertnya dengan DJ dan penerbit dari England, Alan Walker, yang bakal berlangsung pada 22 Jun ini di Sunway Lagoon, Selangor.

Bagaimanapun, selepas menunggu dua jam pihak media kecewa dan menganggap pihak pengurusan penyanyi tersebut gagal bertindak secara profesional seperti sepatutnya.

Untuk rekod, Walker dan Putri Ariani berkolaborasi menghasilkan lagu Who I Am bersama seorang lagi penyanyi Peder Elias.

Bakat Putri Ariani dalam dunia seni mula dicungkil selepas dia menyertai pertandingan pencarian bakat, Indonesia's Got Talent musim kedua yang disiarkan di stesen televisyen SCTV pada 2014.

Pada 2023, Putri Ariani menghadiri uji bakat pertandingan televisyen AGT bagi musim ke-18 untuk minggu kedua.

Dalam uji bakat berkenaan, dia membawakan lagu ciptaannya yang berjudul Loneliness.

Juri pertandingan, Simon Cowell, kemudian membuka peluang untuk dia untuk menyanyikan lagu berjudul Sorry Seems To Be the Hardest Word karya Elton John.

Selain Simon, persembahan itu berjaya membuatkan juri lain AGT, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel berdiri memberikan standing ovation.

Disebabkan nyanyiannya itu juga, Putri Ariani mendapat golden buzzer daripada Simon dan secara automatik ia membuatnya layak ke pentas akhir.