Skip to main
Logo Malaysiakini

Meraikan M Nasir, menghubungkan ekspresi seni

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Galeri Puteh bakal mengadakan pameran Sesat Di Kuala Lumpur - Lagunya Begini, Tampaknya Begitu... M Nasir bagi menghargai sumbangan artis serba boleh itu kepada dunia seni Malaysia.

Pameran yang berlangsung dari 8 hingga 30 Jun akan datang didakwa menjanjikan pengalaman luar biasa melalui 30 karya termasuk seni tampak dan fotografi.

Jurucakap Galeri Puteh, Nizam Rahmat, berkata gabungan pelbagai elemen seni dalam pameran itu nanti akan menampilkan keunikan warisan budaya dan kreativiti hasil daripada penggiat seni tanah air.

“M Nasir seorang seniman yang dikenali kerana ketokohannya dalam bidang seni, terus menjadi sumber inspirasi bagi generasi muda penggiat seni.

"Pameran ini adalah manifestasi penghargaan terhadap sumbangan beliau yang tiada tandingan dalam memperkayakan landskap seni dan budaya negara,” katanya.

Pengkarya yang menyertai pameran itu ialah M Nasir sendiri, selain Rafiee Ghani, Ahmad Fuad Osman, Masnoor Ramli, Abdullahjones, Samsuddin Wahab, Stephen Menon, Najib Bamadhaj, Shafiq Nordin, Hisyamuddin Abdullah, Kide Baharudin, dan Ika Sharom.

Nizam berkata pameran itu bukan sahaja meraikan seni, malah menjadi platform untuk menghubungkan pelbagai ekspresi seni.

“Pameran ini akan menghidupkan kembali momen-momen ikonik dalam kerjaya M Nasir melalui lensa para pengkarya yang terlibat,” katanya.

Galeri Puteh memilih portal senimalaya.com sebagai rakan media untuk menjayakan pameran berkenaan.

Menurut Nizam, pameran itu merupakan kerjasama strategik kedua yang dilakukan mereka selepas Colours For Gaza yang diadakan pada 14 hingga 21 Nov tahun lalu.

Galeri Puteh menjemput orang ramai meraikan pameran berkenaan yang secara tidak langsung memberi sokongan kepada para penggiat seni tempatan.

Maklumat lanjut mengenai pameran dan acara-acara yang diadakan sepanjang bulan Jun boleh didapati di laman web rasmi serta media sosial Galeri Puteh.