Skip to main
Logo Malaysiakini

Alan Walker dapat lebih 50,000 mesej dalam tempoh 12 jam

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Bintang Electronic Dance Music (EDM) dari Norwegian, London, Alan Walker mendedahkan dia sudah menerima lebih 50,000 mesej selepas menggunakan nombor telefon tempatan bagi memudahkan peminat menghubunginya melalui WhatsApp.

Walker berkata, dia tidak menjangka begitu ramai orang memberi respons dalam tempoh setengah hari selepas pengumuman itu dibuat untuk Malaysia, Singapura dan Indonesia bermula 14 Mei lalu.

“Kami tak dapat menghitung jumlah yang sebenarnya... mungkin sudah lebih 50,000 yang respons dalam tempoh 12 jam,” katanya.

Bagi Walker, 22, dia banyak menimba pengalaman yang menarik apabila peminat cuba berkomunikasi dengannya.

“Ia adalah antara cara yang menarik untuk berinteraksi dengan peminat. Ada juga momen melucukan, misalnya apabila nombor saya dimasukkan dalam grup sembang keluarga mereka,” katanya.

Walker berkata demikian pada sidang media Walkerworld Tour 2024 di sebuah hotel di Petaling Jaya semalam.

Turut hadir bersama, bintang muda Indonesia, Putri Ariani yang terkenal selepas menyertai pertandingan America's Got Talent musim ke-18.

Walker dan Putri Ariani berserta penyanyi Sofiloud dan Robin Packalen bakal menjayakan konsert berkenaan di Sunway Lagoon, Selangor pada 22 Jun ini.

Apabila ditanya siapakah yang benar-benar menjawab semua persoalan daripada peminat melalui nombor tersebut, Walker yang terkenal melalui lagu Fade itu menjawab: "Ya, memang saya yang menjawab untuk mereka yang terpilih."

Tambah Walker, agak sukar untuk pihaknya menjawab setiap mesej yang diberikan sekali gus.

Namun, katanya, mereka cuba memberikan respons kepada seberapa ramai yang mampu.

Berkongsi pengalamannya hadir kembali ke Malaysia buat kali ini selepas sambutan ambang tahun baru dua tahun lalu, Walker berkata, ia adalah konsert yang dinanti-nantikannya.

Menurut Walker lagi, sambutan peminat Malaysia juga dianggap berada di tempat istimewa dalam hatinya.

“Apa yang menjadikan Malaysia sangat istimewa ialah, walaupun perlu menaiki penerbanngan kira-kira 20 jam untuk ke sini, tapi sebaik bertemu peminat di konsert semuanya rasa berbaloi.

“Saya betul-betul teruja dan gembira kerana Putri Ariani, Sofiloud dan Robin Packalen dapat menyertai konsert kali ini.

“Saya harap ia akan jadi muzikal menakjubkan serta dapat memuaskan semua orang kerana menepati jangkaan mereka,” katanya.