Skip to main
Logo Malaysiakini

Layla Sania lebar sayap cipta lagu Mandarin

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Biarpun cukup popular dalam pasaran lagu Mandarin, bintang muda meningkat naik Layla Sania Khairuzikri, 22, tidak pernah berasa selesa malah sanggup mengambil kelas bagi meningkatkan lagi penguasaannya dalam bahasa itu.

Dia yang mula dikenali menerusi persembahan lagu Mandarin nyanyian asal Tiger Huang berjudul You’re The Only One in My Heart, pada program realiti I Can See Your Voice musim ketiga, berkata penguasaan lebih mendalam dalam bahasa itu akan memberi nilai tambah kepadanya untuk terus melebarkan sayap dalam bidang penciptaan lagu.

Tambahan pula, dia juga memasang memasang impian untuk mencipta lagu dalam bahasa Mandarin bersama-sama bapanya Khairuzikri Mohamad, 47, suatu hari nanti.

"Sebelum ini, saya dan walid (ayah) pernah mencipta single pertama Que Sera Sera dalam bahasa Melayu pada 2019. Jadi, saya mahu mencuba pula (cipta lagu) dalam bahasa Mandarin.

"...tetapi bahasa Mandarin saya bukanlah hebat sangat walaupun fasih bercakap. Saya masih perlu (banyak) belajar jika mahu mencipta lagu kerana ia (susunan bahasa) lebih berbentuk puisi," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa itu ketika ditemui Bernama di Kuala Lumpur.

Bahkan, Layla Sania yang bercita-cita mahu bergelar pendidik juga mengakui sangat mengagumi kebolehan dan bakat magis dimiliki penyanyi dan komposer Firdhaus Farmizi yang berjaya mencipta nama di negara Tembok Besar.

Firdhaus menjadi penyanyi baharu dan anak Melayu pertama yang menempa kejayaan apabila single nyanyian serta ciptaannya berjudul Gulf of Alaska tular menerusi aplikasi TikTok China, Douyin dengan meraih 170 juta tontonan pada 2021.

"Saya mahu menjadi seperti dia yang bukan sahaja boleh menyanyi tetapi turut menulis lagu sendiri sehingga berjaya mencipta nama di China," kata gadis itu yang turut berhasrat mempelajari pelbagai bahasa selepas ini.

Layla Sania melancarkan album pertamanya bertajuk 1671 pada Disember tahun lepas, memuatkan 10 lagu dengan lapan daripadanya dalam bahasa Mandarin, antaranya By Your Side, Bambino (duet bersama Bunga Isme), Xing Hai, Traveler dan I Just Wanna Fall in Love.

"Alhamdulillah, saya bersyukur lagu-lagu saya dapat mencuri perhatian peminat pelbagai kaum serta berjaya menembusi pasaran China.

"Buat masa ini saya mahu lebih memberi tumpuan dalam bidang nyanyian berbanding lakonan kerana ia adalah satu medium untuk meluah perasaan," katanya yang mengimpikan untuk berduet bersama penyanyi terkenal Indonesia Judika dan Juara Akademi Fantasia musim kesembilan Hazama, suatu hari nanti.

Justeru, sebagai hadiah buat peminatnya, artis yang bernaung di bawah Warner Music Malaysia itu akan melancarkan single terbaharu Man Don Zuo (Berehat Seketika) pada Jun ini.