Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelantikan Fan Bingbing jadi duta pelancongan Melaka dipertikai

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Ketika nama Fan Bingbing diumumkan sebagai Duta Pelancongan Negeri Melaka meraih sambutan positif, segelintir pihak pula mempertikaikan pelantikan aktres yang pernah meraih pendapatan tertinggi di China itu.

Pempengaruh media sosial Ceddy, berkata, pelantikan Fan Bing Bing disifatkan sebagai aneh kerana tujuannya disifatkan tidak selari dengan matlamat yang dibawa.

“Alasan di sebalik melantiknya sebagai duta dengan harapan untuk menarik ramai pelancong dari China adalah pelik kerana dia diharamkan oleh negara itu disebabkan skandal mengelak cukai pada 2018.

“Dia melaporkan pendapatan lebih rendah bagi mengelak sejumlah besar cukai namun dikantoikan sendiri oleh kerajaannya.

Bukan setakat itu, Ceddy mendakwa Fan Bingbing, 42, juga disenaraihitamkan dari industri China sebelum popular di sini.

“Sewaktu disisat pihak berkuasa China, dia menghilangkan diri dari umum selama beberapa bulan. Dia malah dikenakan denda kira-kira AS$120 million (RM564 juta),” katanya di X.

Setakat laporan ini ditulis pada malam ini, ciapan itu meraih 3,500 tanda suka manakala diulang ciap sebanyak 2,400 kali.

Ada di antara respons mencadangkan beberapa nama artis tempatan lain lebih layak dilantik sebagai duta negeri itu seperti pengarah Michael Ang dan Shila Amzah. Segelintir yang lain pula memohon agar semakan latar belakang ke atas aktes itu dilakukan terlebih dulu.

BBC sebelum ini melaporkan pelakon filem francais X-Men and Iron Man itu didenda kira-kira AS$129 million (RM607,461,000) atas dakwaan mengelak cukai dan atas beberapa kesalahan lain.

Fan Bingbing disyaki terlibat dalam penipuan cukai menggunakan skim yang dipanggil kontrak split atau yin-yang, amalan popular dalam industri hiburan China di mana satu bayaran persembahan dilaporkan kepada pihak berkuasa manakala bayaran yang lebih tinggi dibayar secara rahsia.

Bintang China itu yang mula menghilangkan diri pada 1 Julai 2018 kemudian muncul pada bulan Oktober tahun sama dengan membuat permohonan maaf kepada jutaan pengikutnya di media sosial.

Fan Bingbing dilaporkan boleh terlepas daripada tuduhan jenayah sekiranya denda itu dibayar pada masanya.

Terdahulu, Menteri Melaka Ab Rauh Yusuf mengadakan pertemuan dengan pengurus Fan Bingbing, Jersey Chong di pejabatnya bagi membincangkan pelantikan tersebut.

Menurutnya, perjumpaan berkenaan adalah bagi memperincikan mengenai lawatan Fan Bingbing ke Melaka pada 14 hingga 16 Jun 2024.

“Saya percaya, kehadiran Fan Bingbing yang turut dilantik sebagai Duta Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) akan menarik lebih ramai pelancong khususnya dari China dan Asia untuk melawat ke Negeri Melaka,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Sementara itu, Fan Bingbing melalui hantaran di Facebook baru-baru ini berkomunikasi dengan dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk membeli jiwa peminat tempatan.

“Tuan tuan dan puan, puan (learned this from the plane 😛), I can’t wait to see you! (saya tidak sabar untuk berjumpa kamu).

“Chicken rice ball, satay celup, coconut shake, assam fish, roti canai, char kuey teow, durian cendol!!! What else? Semua sedapnya,” katanya.

Hantaran itu menerima 2,600 tanda suka dan 338 komen setakat laporan ini ditulis.