Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerja amal Rossa disalah anggap nak berkempen

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Gara-gara menjual juadah berbuka puasa pada harga serendah Rp2,000 (60 sen), penduduk kampung Sumedang, Indonesia tersalah anggap kerja amal dilakukan penyanyi Rossa itu ada kaitan dengan politik.

Mengimbau detik lucu tersebut, kata Rossa, aktiviti tersebut dilakukan bersama-sama rakan sekolah menengahnya sempena Ramadan pada Mac lalu.

Kebetulan pula, katanya, program berkenaan berlangsung tidak lama selepas Indonesia mengadakan pilihan raya umum iaitu pada 14 Feb.

Justeru, kata pemilik nama penuh Sri Rossa Roslaina Handiyani itu, dia dan rakan-rakannya terpaksa membuat pengumuman bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Sangat lucu di saat itu demam pemilu (pilihan raya umum), jadi mereka fikir saya mahu mencalonkan diri dan berkempen, padahal saya ikhlas saja.

“Saya mahu gunakan kesempatan sepanjang Ramadan untuk berkongsi rezeki (menjual makanan dengan meletakkan harga murah) melalui kerja-kerja amal.

“Harganya cuma Rp2,000 tapi isinya ibarat menu berharga Rp20,000. Ada nasi, ayam goreng atau daging,” katanya yang juga asal kelahiran Sumedang.

Menurut Rossa, 45, pihaknya tampil dengan inisiatif jualan murah supaya penduduk setempat yang benar-benar memerlukan tidak berasa segan untuk membeli makanan tersebut.

Kata penyanyi Ku Menunggu itu, kerja amal berkenaan dijayakan melalui sumbangan pelbagai pihak termasuk pengusaha restoran di Sumedang.

“Ini supaya orang tidak malu mengambilnya kerana mereka berfikir: oh ini saya beli, mereka fikir ada harga diri di situ.

“Kami bukan buka restoran, cuma buka meja kecil di beberapa tempat.

“Alhamdulillah usaha tersebut mendapat sambutan positif. Daripada hanya 200 hingga 300 bungkus pada minggu terakhir Ramadan, ia bertambah hingga 2,000 ke 3,000 bungkus sehari,” katanya yang meneruskan aktiviti itu setiap hari Jumaat selepas bulan puasa berakhir.

Rosaa berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rossa merupakan antara artis yang bakal memeriahkan konsert tersebut selain Dayang Nurfaizah dan Jamal Abdillah. Ia bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 Sept ini.

Kongsi Rossa lagi, dia mula membabitkan diri dengan kerja amal kerana mendapat inspirasi daripada rakan-rakan sekolah menengahnya.

Kata Rossa, rakan-rakannya itu sudah berkecimpung dengan kerja amal sejak tujuh tahun lalu.

“Rakan-raka saya sering membantu golongan susah serta anak-anak yang dijangkiti HIV.

“Banyak yang saya pelajari daripada mereka. Hal ini sedikit-sebanyak mengajar saya ke arah kebaikan,” katanya.