Skip to main
Logo Malaysiakini

Cliff Umar menyesal pilih dadah

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Penyanyi Cliff Umar mengaku menyesal membuat pilihan hidup paling teruk kerana terjebak dengan dadah.

Justeru, Juara Gegar Vaganza musim ke-7 (GV7) itu menitipkan pesanan buat peminat agar tidak mencontohinya dengan memasukkan bahan terlarang itu ke dalam badan.

“Jangan ambil dadah, tiada yang baik mengenainya.

“Melainkan kamu nak berasa malu dan dilayan seperti penjenayah termasuk ‘ditampal’ di media sosial serta berita nasional jam 8 malam.

“Tuhan saja tahu betapa saya menyesal. Jika kamu tertanya-tanya mengapa saya lakukannya: sama seperti kamu, saya buat pilihan paling teruk dalam hidup,” katanya.

Bagaimanapun, vokalis Projek Pistol itu menyifatkan kesalahan memiliki dadah yang disabitkan ke atasnya baru-baru ini ibarat satu hikmah.

Katanya, ia menjadi petanda untuk dia keluar daripada belenggu dadah.

“Ini adalah petanda besar untuk saya berubah jadi lebih baik,” katanya di media sosial.

Terima kasih komen

Pada 30 Mei lalu, Cliff, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas pertuduhan memiliki dadah.

Cliff atau nama sebenarnya Abdullah Umar Joseph, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.

Dia didakwa memiliki dadah dipercayai jenis heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya pada 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Cliff didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Cliff, 41, berterima kasih atas komen positif juga negatif yang diberikan pengguna alam maya.

Katanya, dia berada dalam keadaan sihat di samping isteri, yang hanya dikenali dengan nama Anita.

“Semuanya baik dan saya masih disayangi oleh isteri bidadari saya, saya sayang kamu Anita, jika bukan kerana kamu, pasti kehidupan saya sudah berakhir.

“Terima kasih hadir dalam hidup saya kerana tiada insan lain yang akan mendekati saya dan lakukan seperti yang kamu lakukan. Dirimu amat bererti kepada saya.

“Saya sayang kamu sepenuhya dan tidak akan hampakan kamu lagi, untuk peminat dan rakan-rakan pula, jangan risau apa yang berlaku adalah demi yang terbaik supaya saya jalani hidup lepas ini dengan berpotensi,” katanya.

Baru-baru ini, bekas isteri Cliff, Zurini Hasbullah dilaporkan kecewa apabila penyanyi itu menolak semua tuntutan nafkah untuk anak-anaknya dengan alasan tidak mampu kerana pendapatannya sebagai pemuzik tidak menentu.

Bagaimanapun, Zurini mempersoalkan bagaimana Cliff mengaku tidak berkemampuan membayar nafkah sedangkan dia mampu membeli bahan terlarang.

Cliff dan Zurini berkahwin pada 2008 namun berpisah pada 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak.

Cliff kemudian berkahwin semula pada 2017 dengan wanita yang tidak didedahkan identitinya.