Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu Putri Ariani tidak profesional, Megatix mohon maaf

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Pihak pengurusan acara konsert Walkerworld Tour 2024 tampil membuat permohonan maaf berhubung isu membabitkan penyanyi Indonesia, Putri Ariani yang didakwa tidak bersikap profesional dalam satu sidang media diadakan baru-baru ini.

Pengarah Megatix Sdn Bhd, Ridzuan Mohammad, juga mengakui kesal dengan insiden tidak diingini yang berlaku hingga tular di media sosial baru-baru ini.

Justeru katanya, dia ingin menjelaskan punca kekeliruan serta kepincangan komunikasi yang berlaku sewaktu sidang media tersebut.

“Menyedari insiden tidak disengajakan ini mengguris hati rakan media, Megatix dan saya selaku Pengarah Megatix dengan rasa rendah hati memohon maaf kepada semua rakan media kerana sedar ia adalah khilaf kami.

“Untuk makluman rakan media, semasa insiden saya tiada di situasi tersebut kerana keluar seketika bagi meraikan kehadiran tetamu serta tidak sedar akan salah faham yang berlaku antara pihak media dengan Putri Ariani.

“Megatix hanya menyedari salah faham tersebut setelah melihat laporan media bahawa Puteri Ariani didakwa telah mengabaikan dan tidak mengendahkan kehadiran rakan media,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ridzuan, pihaknya juga telah mengenal pasti pihak dan punca insiden tidak dingini itu berlaku.

Namun, katanya, dia tidak mahu terus memanjangkan isu dan mengeruhkan keadaan dan kami bersepakat untuk memperbaikinya secara dalaman.

Hormat media

Pada masa sama Ridzuan berkata, atas kesilapan komunikasi penganjur yang dilantik, insiden itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan kepada Putri Ariani.

“Sejujurnya, kami mahu memperbetulkan tanggapan negatif dilemparkan terhadap Putri Ariani kerana menyinggung rakan media Malaysia yang telah menunggu hampir dua jam dan juga tidak muncul semula selepas itu.

“Seperti rakan media sedia maklum Putri Ariani seorang insan istimewa disayangi ramai peminat muzik di berdiri atas bakat suara luar biasanya, dan dari segi personaliti dia seorang yang positif, periang dan baik hati.

“Putri Ariani sangat menghormati pihak media dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi temu bual,” katanya.

Tambahnya, Megatix khuatir kecaman daripada netizen bakal memberi kesan terhadap emosi Putri Ariani seterusnya menjejaskan persembahan.

Baru-baru ini, pihak pengurusan Putri Ariani, 18, didakwa bersikap tidak profesional terhadap pihak media tempatan apabila membiarkan mereka menunggu kira-kira dua jam bagi menyambung sesi wawancaranya selepas sidang media konsert itu berakhir.

Pihak media juga melaporkan mereka hanya berpeluang melontarkan tiga soalan yang dijawab secara ringkas oleh Putri Ariani sebelum pihak penganjur memberikan alasan penyanyi itu perlu beredar kerana ingin mengisi perut.

Ia menyebabkan pihak media menyuarakan permintaan kepada pihak penganjur untuk melakukan sesi wawancara semula.

Namun, hal itu tidak kesampaian menyebabkan pihak media berasakan membazir masa dua jam menunggu.

Puteri Ariani akan berkongsi pentas melakukan persembahan di konsert Walkerworld Tour 2024 pada 22 Jun ini bersama DJ Electronic Dance Music (EDM), Alan Walker.

Selain Putri Ariani, konsert itu akan turut diiringi dengan persembahan artis jemputan lain seperti Robin Packalen dan Sofiloud.

Untuk rekod, Putri Ariani mencetus fenomena di pentas antarabangsa apabila menerima Gold Buzzer daripada Simon Cowell melalui AGT. Dia juga antara duta kecil Indonesia dalam arena muzik sama ada di peringkat serantau atau pun antarabangsa.

Sehubungan itu, Ridzuan menyatakan, bagi memperbaiki keadaan dan memastikan hubungan baik antara kedua-dua pihak, Megatix mengambil iktibar dan teladan dalam pengurusan acara pada masa hadapan dan bersedia menerima teguran mahu pun nasihat rakan media.