Skip to main
Logo Malaysiakini

Hafiz Suip hargai rakan-rakan tidak pernah berprasangka buruk

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Penyanyi Hafiz Suip berkongsi imej rakan-rakannya sambil memuji mereka kerana tidak pernah berprasangka buruk terhadap dirinya selama berkenalan.

Hafiz berkata, rakan-rakannya itu adalah kenalan yang paling memahami, justeru, dia mempertikaikan tuduhan orang lain yang tidak pernah mengenali dirinya.

“Dia orang ni sudah lama dengan aku... dari sekolah sampai sekarang. Ini pun ada yang tidak sempat nak jemput (sebab dah lewat) dan ada juga yang dah lost contact (putus hubungan).

“Masih, mereka ini tidak pernah berprasangka terhadap aku atau tuduh aku yang bukan-bukan sebab mereka kenal aku siapa.

“Jadi, korang (kamu) apa cerita? Sempat ke nak minta maaf depan-depan nanti,” katanya.

Hafiz dipercayai berkata demikian susulan muncul spekulasi terhadap kedudukan rumah tangganya dengan Nureffy Jesreel Abdullah yang kini sedang bergolak.

Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 7, dan Muhammad Alkaf Zayne, 4.

Spekulasi mulai timbul selepas Hafiz atau nama penuhnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, menyah aktif akaun Instagram pada 16 Mei lalu.

Sebelum ini, penyanyi lagu Awan Nano itu meminta orang luar untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rumah tangganya.

Hafiz turut mengingatkan netizen tidak ikut campur dalam perkahwinan mereka seolah-olah mengenali dirinya dan isteri.

Malah wujud tuduhan liar daripada seorang netizen yang seolah-olah menuduhnya bercerai kerana melakukan pengabaian tanggungjawab

Kata Hafiz, 34, dia terhibur membaca komen tersebut.

“Saya ada baca komen kakak ini yang kata dia bercerai sebab laki dia tinggalkan dia. Saya rasa kelakar dengan komen dia,” katanya.