Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas isteri tuduh suami BCL gelapkan wang hampir RM2j

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Suami penyanyi dan pelakon Bunga Cinta Lestari (BCL), Tiko Aryawardhana, diadukan kepada pihak polis atas dakwaan menggelapkan wang syarikat sebanyak Rp6,9 miliar (RM1.9 juta).

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jakarta Selatan, Bintoro, mengesahkan laporan itu dibuat oleh bekas ister Tiko, dan memberitahu kes tersebut sedang disiasat.

“Ya, benar, suami BCL dilaporkan. Saat ini, kes tersebut masih dalam siasatan,” katanya.

Bekas isteri Tiko - yang idendititinya hanya dikenali dengan inisial AW - melaporkan kes terbabit pada 2022 selepas mereka bercerai setahun sebelum itu.

Kes itu sampai ke peringkat siasatan selepas Tiko dan BCL melangsungkan pernikahan pada Dis tahun lalu.

Berdasarkan status LinkedIn, Tiko atau nama penuhnya Tiko Pradipta Aryawardhana merupakan lulusan Universitas Trisakti dalam jurusan ekonomi.

Dia berkongsi tempat pengajian dengan BCL namun penyanyi terbabit mengikuti pengajian dalam jurusan pengurusan.

Suami BCL itu masih aktif bekerja dalam salah satu bank swasta Indonesia dan memegang jawatan kanan di salah sebuah jabatan institusi kewangan berkenaan.

CNN melaporkan, peguam mewakili AW, Leo Siregar menjelaskan dakwaan penyelewengan berlaku dari 2015 hingga 2021 apabila anak guamnya dan Tiko mengasaskan syarikat PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) yang beroperasi dalam sektor makanan dan minuman.

Pada ketika itu, Tiko memegang jawatan sebagai pengarah manakala AW sebagai eksekutif kanan.

Leo mendakwa seluruh modal perusahaan berkenaan adalah daripada anak guamnya. Namun, AW bersikap pasif dan tidak berusaha mencampuri urusan perniagaan.

Keadaan itu katanya berlanjutan sehinggalah Tiko memiliki kuasa penuh untuk mengurus perusahaan itu termasuk hal berkaitan kewangan.

Leo berkata, pada 2019 Tiko tiba-tiba menyuarakan keinginan untuk menutup perniagaan itu kerana tidak mampu membayar sewa. Hal itu menyebabkan AW berasa curiga.

Ujarnya lagi, soal penggelapan wang oleh Tiko semakin menambah kecurigaan AW apabila pada awal 2021 dia menemui dua dokumen P & L (keuntungan dan kerugian).

Leo juga mendedahkan pada ketika itu, AW membandingkan kedua-dua dokumen dan mengesyaki ia telah dimanipulasi untuk menyembunyikan situasi sebenar krisis kewangan syarikat terbabit.

“Dari situ, anak guam kami mendapatkan khidmat pengaudit bebas dan menemui penggunaan dana sebanyak RM1.9 juta yang tujuaan penggunaannya tidak jelas.

“Kerana tiada niat baik di pihak berkenaan untuk menjelaskan, anak guam kami menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.

“Sekiranya disabitkan kesalahan penggelapan wang, tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun penjara,” katanya.