Skip to main
Logo Malaysiakini

Jenazah Pyanhabib selamat dikebumikan

Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

Jenazah Allahyarham Pyanhabib Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 di Ampang, pada jam 11. 25 pagi tadi.

Arwah menutup usia ketika mencecah 66 tahun.

Majlis pengebumian pelakon, penyair dan penulis terkenal itu berjalan lancar dan dihadiri kira-kira 200 orang terdiri daripada keluarga, kenalan rapat dan rakan selebriti.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir buat Pyanhabib di tanah perkuburan itu ialah M Nasir, Uji Rashid, Farid Kamil, Amerul Affendi dan Ahmad Tamimi Siregar.

Jenazah sebelum itu disolatkan di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat, Ampang.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua di kediamannya di AU4 Keramat malam tadi.

Pyanhabib sangat dikenali dengan dunia seni dan sastera. Dia aktif menulis puisi sejak 1970-an dan hasilnya diterbitkan di pelbagai akhbar dan majalah termasuk Dewan Sastera.

Dia kemudian menghasilkan beberapa buku terbitan sendiri iaitu Suara dan Saraf Dukaku, manakala pada 2015 Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) menerbitkan Balada Pyanhabib, sebuah koleksi lengkap kepenyairannya.

Pyanhabib menyertai Utusan Melayu pada 1983 sebagai pengarang Mastika sebelum bertukar ke jabatan pengarang sebagai penyunting hingga tahun 2000.

Pada 1986, Pyanhabib terjun ke dalam bidang lakonan bersama-sama M Nasir dan Nasir Jani melalui filem ikonik, Kembara Seniman Jalanan.

Lakonannya semakin mendapat perhatian ketika Pyanhabib menjayakan filem Tsu Feh Sofiah sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik ketika Festival Filem Malaysia ke-7.

Namun Pyanhabib menolak anugerah itu kerana wataknya yang kecil dalam filem berkenaan malah dia lebih berharap untuk memenangi kejayaan melalui Seniman Kembara Jalanan.

Selain Seniman Kembara Jalanan, antara naskhah lain lakonan Pyanhabib ialah One Cent Thief, Tak Kisahlah Beb, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.