Skip to main
Logo Malaysiakini

Isteri Pyanhabib hilang teman 'bergaduh'

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Isteri Allahyarham Pyanhabib Rahman, Zurina Zakaria, berkata kematian seniman serba boleh itu menjadikan dia kehilangan teman ‘bergaduh' yang mewarnai hidup mereka dalam rumah tangga.

Sambil menahan sebak, Zurina berkata, dia berharap rasa rindu itu nanti sedikit sebanyak dapat diubati sekiranya dia dapat melihat arwah beraksi melalui mana-mana platform semasa.

“Dah tidak ada kawan bergaduh. Jika saya nak ubat rindu nanti, saya akan tonton kembali video arwah yang dimuat naik di YouTube,” katanya.

Zurina, 58, berkata walaupun pemergian Pyanhabib malam tadi amat mengejutkan namun dia bersyukur kerana sejak akhir-akhir ini rezeki arwah mencurah-curah dengan pelbagai tawaran.

Katanya, dia juga sempat bergurau agar arwah - yang mengalami bengkak di kaki - segera sembuh bagi membolehkan tokoh Penyair Kuala Lumpur itu kembali sihat untuk bekerja seperti selalu.

“Minggu ini dia sepatutnya menjalani penggambaran video promosi konsert Cipta M Nasir bahagian ketiga selepas selesai bahagian kedua.

“Selepas itu, dia akan memasuki penggambaran drama bersiri One Cent Thief musim kedua.

“Itulah, sedihnya rezeki abang banyak datang saat akhir. Saya ada minta ‘kecilkan kaki (sembuhkan kaki bengkak),” katanya ketika ditemui di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat di Kuala Lumpur hari ini.

Jenazah Pyanhabib disembahyangkan di masjid itu sebelum dibawa ke tanah perkuburan di AU4.

Pilih cermin mata lama

Pyanhabib - seorang penyair, pelakon dan penulis - menutup usia pada usia 66 tahun kerana sakit tua kira-kira jam 8.40 malam tadi di kediamannya di AU4 Lembah Keramat.

Berkongsi kisah lebih lanjut, Zurina berkata, dia bersyukur kerana berpeluang menjaga suaminya sepanjang arwah mulai sakit kaki dan mengalami kesukaran untuk melihat.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian itu bahkan sempat mengajar suaiminya mengucap dua kalimah syahadah.

“Saya cakap, kalau abang nak pergi, pergilah, abang dah penat sangat, saya sayang sangat abang,” katanya.

Zurina juga memaklumkan abang kepada Pyanhabib juga baru meninggal dunia iaitu kira-kira sebulan lalu.

“Lepas saya cakap, air matanya kering dan matanya perlahan-lahan tertutup,” katanya.

Menurut Zurina, arwah suaminya itu juga sempat membuat permintaan terakhir iaitu ingin memakai cermin mata baru ekoran masalah penglihatan yang dialaminya itu.

“Tiga hari sebelum abang pergi, mata dah mula tak nampak, dia minta dibelikan cermin mata baru.

“Saya dah beli yang baru tapi dia tak mahu pakai juga dengan alasan masih tidak nampak.

“Saya ada rasa geram juga sikit sebab macam membazir. Dia sebaliknya nak pakai cermin matanya yang lama,” katanya.

Zurina dan Pyanhabib mendirikan rumah tangga 35 tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, pasangan terbabit dikurniakan dua anak, Najihah dan Ashman.