Skip to main
Logo Malaysiakini

Pyanhabib boleh buat orang cukup sifat termalu, kata Nasir

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Selama hampir lima dekad bersahabat baik dengan Allahyarham Pyanhabib Rahman, Nasir Jani menyifatkan keistimewaan seniman itu ialah, dia boleh membuatkan orang yang cukup sifat 'sedar diri'.

Pengarah, penulis dan pelakon itu berkata, Pyanhabib merupakan 'graduan' kolektif seni Anak Alam dan dia tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuknya menjadi seniman sebenar.

“Kami berkawan sejak 1975 sewaktu saya menuntut di pusat pengajian tinggi.

“Arwah cukup istimewa, walaupun ada masalah pendengaran tapi kelakuannya sama macam orang normal.

“Mungkin ada orang tidak nampak dia ada masalah pendengaran, malah orang cukup sifat pun boleh jadi malu kerana arwah serba boleh orangnya: dia boleh menulis, berlakon, dan deklamasi puisi,” katanya.

Bahkan menurut Nasir, 70, dia rasa bertuah kerana sepanjang mengenali Pyanhabib, arwah juga disifatkannya seorang manusia yang sangat baik.

Kerana itu, kata Nasir, dia tidak pernah mendengar walaupun sekali ada mana-mana pihak mengadu atau rasa tidak berpuas hati terhadap Pyanhabib.

“Dia manusia yang baik, tidak pernah lagi saya dengar orang mengadu (hal-hal buruk) tentang dia.

“Orang sentiasa cerita yang baik tentang dia,” katanya ketika ditemui di Masjid As-Sobirin di Lembah Keramat, Kuala Lumpur, yang menjadi tempat jenazah Pyanhabib disembahyangkan pagi tadi.

Arwah meninggalkan seorang balu, Zurina Zakaria dan dua anak, Najihah dan Ashman.

Ditanya mengenai kejadian mengejutkan apabila Pyanhabib menolak Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui filem Tsu Feh Sofiah ketika Festival Filem Malaysia ke-7 pada 1986, Nasir menjawab, keputusan itu dibuat tanpa paksaan sesiapa.

Kata pengarah filem Kembara Seniman Jalanan itu, Pyanhabib membuat keputusan tidak diduga oleh sesiapa di atas pentas kerana terkilan wataknya dalam Tsu Feh Sofiah sangat kecil.

Ramai tunggu di pesta buku

Sebaliknya, kata Nasir, Pyanhabib berharap bakat lakonannya diiktiraf melalui filem Kembara Seniman Jalanan namun pencalonan filem tersebut ditolak atas faktor tertentu.

“Apabila nama Pyanhabib diumumkan menang anugerah melalui Tsu Feh Sofia, dia terkilan dan tolak anugerah itu,” katanya.

Untuk rekod filem Tsu Feh Sofia merupakan hasil tangan pengarah terkenal, Rahim Razali dan mula ditayangkan di pawagam pada April 1986.

Ia membariskan pelakon seperti Rahim sendiri, serta Jacqueline Mitchell, Eman Manan, Ghouse Nasruddin dan Ahmad Tamimi Siregar.

Suasana di tanah perkuburan semasa Pyanhabib dikebumikan

Sementara itu, Nasir berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah sewaktu mereka bersama-sama mendeklmasi sajak pada 27 Ramadan lalu di Shah Alam.

Katanya, acara itu turut disertai oleh kumpulan Blues Gang.

“Saya berharap dapat jumpa dia semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung baru-baru ini, tapi dia beritahu tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

“Sebenarnya ramai yang tunggu dia dari hari pertama sebab selalunya dia akan turun (hadir),” katanya.