Skip to main
Logo Malaysiakini

Impian Jaclyn beraksi di konsert solo jadi kenyataan Okt ini

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Beraksi secara solo di atas pentas pastinya menjadi impian mana-mana anak seni, dan begitu jugalah buat penyanyi yang terkenal dengan suara lantangnya, Jaclyn Victor.

Selama dua dekad mengharungi perjalanan berliku sebagai anak seni, akhirnya impian tersebut bakal menjadi kenyataan buat Jaclyn pada 12 Oktober depan.

Pastinya peluang keemasan yang disifatkan sebagai hadiah amat bermakna dalam karier seninya itu akan digunakan sebaik mungkin, khususnya untuk menghiburkan peminat yang sentiasa setia memberi sokongan.

Rasa teruja jelas terpancar pada wajah juara Malaysian Idol 2004 itu semasa sidang media Jaclyn Victor First Solo Concert di Putrajaya baru-baru ini.

Konsert solo penyanyi memiliki nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

"Konsert ini sangat bermakna bagi saya, penanda aras untuk tempoh 20 tahun saya dalam industri ini dan juga masa terbaik untuk saya 'bagi balik' kepada semua yang menyokong (kerjaya).

"Bukan mudah perjalanan untuk kekal relevan dalam industri tanpa sokongan hebat peminat.

"Saya sangat teruja dan mahu buat yang terbaik buat semua peminat yang hadir nanti," katanya.

Demi memberi keseluruhan fokus untuk konsert solonya tahun ini, pelantun lagu Gemilang itu terpaksa menolak beberapa tawaran lain untuk mengadakan persembahan.

"Saya memang sudah fikirkan nak buat konsert ini sejak tahun lepas memandangkan tahun ini genap 20 tahun dalam industri. Lagipun, saya ada kawan yang mahir dalam bidang ini (penganjuran konsert).

"Saya tolak dengan cara baik (tawaran lain mengadakan konsert). Jika tahun depan dapat (tawaran) saya boleh fikirkan, tahun ini saya fokus untuk ini," katanya.

Tambah Jaclyn, , 45, konsert itu akan dijayakan oleh Rag Doll Records dengan kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production.

Mengenai persedian untuk konsert tersebut, penyanyi tinggi lampai itu mahu memberi fokus kepada keadaan suaranya.

"Saya perlu ada rehat yang cukup, sebab nanti nak menyanyi non-stop (tanpa henti) dalam tempoh panjang, ini penting. Saya juga elak makan benda yang tidak perlu. Saya seorang penyanyi dan my voice is a gift (suara saya satu anugerah).

"Untuk pemilihan lagu dan pakaian atau penyanyi jemputan, buat masa ini kami belum finalised (muktamadkan) lagi. Satu kejutan untuk penonton yang hadir nanti," katanya yang dijangka mendendangkan lebih 25 lagu pada konsert itu nanti.

Tiket bagi konsert tersebut boleh didapati mulai hari ini melalui www.livepass.asia.

- Bernama