Skip to main
Logo Malaysiakini

Azlee Senario dikejarkan ke IJN

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pelawak dan pelakon terkenal, Azlee Senario, dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini dipercayai akibat mengalami masalah berkaitan jantung.

Perkara itu dikongsikan oleh rakan pelawak, Ropie Cecupak, melalui akaun Instagramnya sebentar tadi.

“Mohon doakan abang Azlee Senario. Dia sekarang berada di Hospital Sungai Buloh dan dalam perjalanan ke IJN. Mohon sama-sama doakan dipermudahkan urusannya,” katanya.

Bagaimanapun, Ropie atau nama sebenarnya Zahid Tajuddin tidak memperincikan masalah kesihatan yang dihadapi oleh Azlee, 56.

Perkongsian maklumat itu mengundang reaksi terkejut rakan-rakan artis. Mereka antaranya mendoakan kesembuhan pelawak berkenaan.

Pelakon Liza Abdullah misalnya berharap agar Azlee atau nama penuhnya Muhammad Azlee Jaafar dikurniakan kesihatan selepas mendapatkan rawatan.

“Ya Allah, kau kabulkan segala doa yang baik-baik untuk sahabat kami ini ya Allah. Semoga Allah berikan kesembuhan yang luar biasa,” katanya.

Pelakon Azhan Rani pula mendoakan agar keluarga Azlee diberi kesabaran untuk menghadapi ujian yang melanda.

“Allahu akbar, semoga Allah berikan kekuatan luar biasa pada abang Azlee dan ketabahan pada anggota keluarganya. Insya-Allah, doa kami tidak putus untuk abang Azlee. Semoga disembuhkan kesakitan,” katanya.

Kali terakhir Azlee berkongsi aktivi di media sosialnya adalah dua hari lalu apabila dia bersama keluarga kelihatan menikmati sarapan di sebuah restoran di Meru, Klang.

Dia sebelum itu diundang menjadi pengacara di sebuah majlis perkahwinan di Ampang, Selangor.