Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar doakan Jay Jay cekal mendepani ujian

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendoakan penyanyi Jay Jay diberikan kekuatan serta kecekalan kerana sedang menempuh ujian kesihatan ketika ini.

Anwar turut berharap penyanyi Rindu Bayangan itu - yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) - segera dikurniakan kesembuhan.

“Jay Jay kini sedang jalani rawatan susulan di IJN. (Saya) mendoakan saudara Jay Jay lekas diberi afiyah dan lantas dikurniakan kekuatan dan kecekalan, insya-Allah,” katanya.

Jay Jay, 67, dilaporkan diserang sakit jantung dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur pada bulan lalu.

Selain Rindu Bayangan, Jay Jay juga terkenal dengan lagu-lagu seperti Joget Angan Tak Sudah dan Cukuplah Sekali.

Anwar pada masa sama memaklumkan, kunjungan itu dilakukan oleh setiausaha politiknya, Farhan Fauzi, semalam.

Jelasnya, sesi ziarah itu dibuat untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan kesihatan Jay Jay selain menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban bekas vokalis kumpulan Carefree itu.

“Saudara Farhan meluangkan masa mendapat maklumat terkini terkait keadaan kesihatannya selain turut menyampaikan sedikit sumbangan dari pihak saya,” katanya.