Skip to main
Logo Malaysiakini

Guna nama Saloma tanpa izin, Ito bagi tempoh 2 minggu

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Penyanyi Blues Gang, Ito Mohd memberi tempoh dua minggu kepada pihak tertentu menyelesaikan isu yang dianggapnya melanggar peruntukan dalam akta berkaitan harta intelek di negara ini.

Menurut penyanyi Apo Nak Dikato itu, menantunya Arzani Ramli - antara cucu Allahyarham Saloma - akan menggunakan saluran undang-undang sekiranya pihak terbabit masih berdegil dan menggunakan nama serta imej Biduanita Negara terbabit dengan sewenang-wenang.

“Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa arwah Armali Aman Ramlie adalah besan saya. Tolonglah, Saloma punya cucu-cucu hidup lagi.

“Jadi mereka kena tanya pewarisnya, mana boleh suka-suka saja.

“Baru-baru ini ada sebuah pasar dibuka menggunakan nama Saloma tanpa minta izin terlebih dulu atau membuat sebarang perjanjian dengan waris,” katanya.

Ito, 73, juga kesal kerana baginya, banyak pihak kurang kesedaran mengenai kepentingan menjaga harta intelek.

Dia yang turut menyanyikan lagu Katakan Padaku itu menambah, nama atau karya seseorang artis belum menjadi hak awam sehinggalah selepas 50 tahun individu terbabit meninggal dunia.

“Nama atau karya arwah belum jadi domain awam, belum 50 tahun lagi, jadi di sini ramai yang kurang faham atau ambil tahu mengenai harta intelek di Malaysia,” katanya.

Ito berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato di sebuah hotel di ibu kota baru-baru ini.

Selepas 50 tahun, Blues Gang akhirnya muncul solo dalam persembahan berskala besar pada malam konsert berkenaan yang dijadual berlangsung di Zepp KL pada 9 Ogos depan.

Untuk rekod, bapa Arzani, Armali, adalah satu-satunya anak kepada Saloma hasil perkahwinan dengan suami pertamanya yang juga Seniman Negara, AR Tompel sebelum bercerai.

Saloma kemudian berkahwin dengan Kaswan Yusak pada 1957 dan P Ramlee (1973) namun rumah tangga itu tidak dikurniakan anak.

Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983.

Menurut Ito, Arzani ada meminta pendapatnya apabila nama Saloma digunakan tanpa izin oleh pihak tertentu.

Ekoran itu, kata Ito, dia mengetengahkan isu berbangkit kepada penganjur pasar berkenaan pada minggu lalu namun setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang respons.

“Menantu saya cakap, mereka tiada buat surat atau sebagainya tapi nama dan imej Saloma digunakan, ini Biduanita Negara.

“Ada dua perkara dibincangkan iaitu sama ada mahu naik mahkamah atau selesaikan di luar mahkamah.

“Isu seperti ini belum pernah dibawa naik mahkamah, tapi kalau terpaksa, kami perlu melakukannya bagi menghentikan ia daripada berlaku lagi.

"Jadi kalau masih tak ada respons, kami akan bincang dengan peguam pula,” katanya.