Skip to main
Logo Malaysiakini

Jadi naib pengerusi PKR Wilayah Persekutuan tak jejas tugas Afdlin

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Afdlin Shauki yakin pelantikannya sebagai Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan sedikit pun tidak mengganggu tugasnya sebagai orang penting di bahagian media Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Kata pengarah dan pelakon itu, ketika awal menyertai YWP, memang dia melakukan tugas sebagai editor berikutan kekosongan jawatan di syarikat terbabit belum diisi namun ia bersifat sementara.

Menurutnya keadaan sudah berubah apabila seorang editor dilantik bagi menguruskan penerbitan akhbar Wilayahku.

“Tidak ada ganggu langsung. Masa saya masuk YWP dulu tiada editor. Saya hanya jadi editor buat sementara waktu.

"Sekarang dah dilantik seorang editor untuk Wilayahku dan saya pula terus membantu dari segi penambahbaikan terhadap akhbar dan majalah baru, itu sumbangan saya di YWP,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin dalam kenyataannya menyenaraikan barisan pimpinan baru MPN parti tersebut ekoran penyusunan semula badan berkenaan baru-baru ini.

Afdlin merupakan salah seorang personaliti yang dilantik mengisi jawatan penting berkenaan.

Selain Afdlin dua lagi nama yang turut diumumkan sebagai naib pengerusi ialah Lai Chen Heng dan Dr Abdul Basir Kunhimohamed.

Dulu bantu Negeri Sembilan

Mengulas peranannya dalam PKR Wilayah Persekutuan, Afdlin, 53, berkata dia akan meneruskan usaha bersama-sama rakan seperjuangan bagi menguatkan lagi PKR dan PH.

Pada masa sama kata pengarah, pelakon dan penulis skrip filem Baik Punya Cilok itu, dia akan memastikan tiada lagi fitnah atau putar belit dilakukan oleh pihak pembangkang.

“Saya akan bekerjasama dengan kawan-kawan di Wilayah Persekutuan untuk menguatkan lagi PKR.

“Harapan saya, apa yang terbaik dilakukan ialah semua ahli PKR menunjukkan kesediaan mereka untuk memberikan khidmat yang terbaik buat rakyat.

“Bagi saya yang bertugas dalam media, paling utama adalah memastikan perkara baik dalam PH dan PKR diketengahkan dan tidak difitnahkan atau diputar fakta-fakta tersebut,” katanya.

Diminta mengulas sama ada dia akan turun berkempen untuk PRK DUN Sungai Bakap di Pulau Pinang, Afdlin menjawab, ia bergantung kepada penilaian pimpinan tertinggi parti.

Katanya, sekiranya diperlukan turun padang membantu ia tidak menjadi masalah.

“Tiada masalah (untuk berkempen) kerana kami parti kecil.

“Kalau ada PRK kami biasanya turun. Waktu pilihan raya negeri dulu pun, walau Wilayah Persekutuan tak terbabit, kami turun membantu Negeri Sembilan seperti yang ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, filem terbaru dilakonkan dan diarahkan Afdlin, Harimau Malaya: The Untold Journey bakal menjengah pawagam tidak lama lagi.

Katanya, filem bergenre drama yang menyelitkan sedikit unsur komedi itu memaparkan kisah skuad kebangsaan selepas Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih melepaskan jawatan.

“Penerbit masih mencari tarikh tayangan yang sesuai. Pihaknya mungkin mempertimbangkan waktu tayangan sekitar Julai hingga Ogos.

“Waktu yang dirasakan sesuai mungkin adalah sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

“Ini drama yang mengetengahkan perjalanan Harimau Malaya sebelum layak ke Piala Asia 2023 di era Kim Pan Gon,” katanya.