Skip to main
Logo Malaysiakini

Ustaz Kazim harap Don Daniyal tabah hadapi ujian

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Mohammad Kazim Elias atau Ustaz Kazim berharap pendakwah sensasi, Don Daniyal Don Biyajid berlapang dada memperbetulkan diri sekiranya terbukti dia ada melakukan kesilapan.

Sebagai guru yang pernah mendidik Don Daniyal, Kazim berharap pendakwah itu boleh menilai situasi yang menghimpit dirinya dari sudut positif.

“Don merupakan anak murid saya sebelum ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia baru 14 tahun dalam bidang ini. Bagi saya, inilah asam garam dunia dakwah perlu dilaluinya.

“Saya juga pernah kena gam oleh stesen tertentu, tapi saya hormat keputusan tersebut dan perbetulkan kesalahan kita.

“ Jadi, ada penjernihan perlu dibuat Don sendiri. Saya percaya, apabila kita buat yang terbaik, insya-Allah. Televisyen (TV) dan radio akan panggil kita berceramah balik, begitu juga dengan masyarakat,” katanya.

Justeru, menurut Kazim, 51, semua pihak perlu mengamalkan sikap keterbukaan bagi menangani isu tersebut dengan baik.

Katanya, masyarakat jangan terus menghukum Don Daniyal, sebaliknya memberi peluang kepada pendakwah bebas itu untuk memperbaiki keadaan.

“Bagi saya dalam bab ini kita perlu ada kelapangan hati. Masyarakat pun, janganlah nampak saja situasi begini terus nak menghentam Don.

“Tindakan itu seolah-olah dia tidak pernah buat baik. Kenapa perlu maki hamun begitu. Kalau dia ada buat salah, kita jumpa dan nasihat,” katanya.

Kazim berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem yang Zim Zim Ala Kazim di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam tadi.

Karya diarahkan Mawi itu diinspirasikan daripada kisah hidupnya yang pernah mengalami pelbagai penyakit misteri.

Selain Kazim, turut menjayakan filem berkenaan adalah Mawi sendiri, Bell Ngasri, Man Raja Lawak, Anas Tahir, Santesh, Ryan Bakeri dan Iqram Dinzly.

Karya itu akan menemui penonton di pawagam tempatan pada 13 Jun ini.

Don Daniyal 38, direhatkan daripada terus bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) ekoran beberapa dakwaan berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Dalam dakwaannya yang dibuat sewaktu bersiaran di sebuah stesen radio, Don Daniyal berkata, baginda pernah melamar seorang wanita bernama Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Walaupun ditegur oleh beberapa tokoh agamawan Don Daniyal bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan kenyataan dengan berkata dakwaan nabi melamar wanita terbabit sebanyak tiga kali tidak dapat diterima kerana berlaku kecatatan pada riwayatnya.

Don Daniyal bersiaran dalam program Salam Baitullah, rancangan RTM yang bersiaran setiap musim haji.

Pada masa sama Kazim, berkata, tindakan menggam seseorang pendakwah yang berupaya menarik minat ramai pihak boleh mendatangkan satu kerugian.

Katanya, Don Daniyal mempunyai kelebihan dalam menarik minat terutama golongan muda untuk lebih mendekati agama melalui ceramahnya.

“Anak muda boleh ikut dakwahnya kerana mudah difahami, terutama caranya yang lemah-lembut berjaya minat orang.

“Bagi saya, satu kerugian besar kalau Don tidak boleh lag bercakap melalui saluran media utama.

“Memang boleh bercakap di media sosial, tapi orang tetap mahu melihat melalui media utama seperti TV, radio dan sebagainya,” katanya.