Skip to main
Logo Malaysiakini

Don Daniyal akui terkhilaf, akur pada ulil amri

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Pendakwah yang dibayangi kontroversi, Don Daniyal, mengakui terkhilaf dalam berkata-kata namun berlapang dada dengan ujian didepaninya dalam menegakkan syiar Islam.

Justeru, katanya, dia reda dengan keputusan dan arahan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk merehatkannya daripada bersiaran dalam program Salam Baitullah.

“Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan atas keprihatinan semua orang atas apa yang berlaku.

“Setakat hari ini, saya berlapang dada dengan keputusan dan arahan daripada pihak RTM,” katanya.

Lulusan Universiti al-Azhar di Mesir itu malah mengakui amat menghormati pandangan ulama yang pakar dalam hal ehwal khususnya hadis.

Katanya, sesuatu arahan ulil amri (pemerintah) mesti dipatuhi oleh seseorang selagi ia tidak bercanggah dengan Islam.

“Perkara ini saya selalu tekankan dalam mana-mana keadaan,” katanya dipetik Kosmo!.

Baru-baru ini, pemilik nama penuh Don Daniyal Don Biyajid mengundang perhatian ramai ekoran dakwaannya berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Semasa bersiaran di sebuah stesen radio swasta, Don Daniyal, 39, mendakwa baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Don Daniyal, yang juga seorang pensyarah turut mendakwa Ummu Hani merupakan cinta pertama Rasulullah.

Kenyataan itu mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan kesahihan dakwaan Don Daniyal. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian turut mengeluarkan kenyataan menjelaskan kekeliruan dilakukan personaliti terbabit.

Antara lain pejabat itu berkata dakwaan nabi melamar wanita terbabit sebanyak tiga kali tidak dapat diterima kerana berlaku kecatatan pada riwayatnya.

Untuk rekod, sebuah akhbar lain melaporkan tempoh Don Daniyal direhatkan bergantung kepada pertemuannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Bagaimanapun, Don Daniyal masih boleh menghela kelegaan kerana dia dibenarkan meneruskan kegiatan dakwahya di tempat lain.

“Alhamdulillah, saya masih boleh meneruskan dakwah, itu satu perkara yang baik,” katanya.