Skip to main
Logo Malaysiakini

Kazim berkorban untuk ubah persepsi umum pada pawagam

Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Sebagai pendakwah yang bergelumang dalam dunia itu berpuluh-puluh tahun, Kazim Elias mengakui ada beberapa sebab membuatkan dia sanggup melakukan "pengorbanan besar" dengan terjun ke dunia lakonan.

Kazim - yang sering menyampaikan kuliah agama di seluruh pelosok negara - berkata dia juga sedar perubahan drastik itu pula bukan sesuatu yang mudah untuk diterima umum.

Justeru, Kazim berlapang dada sekiranya usaha dia menyebarkan dakwah selama 34 tahun serta imejnya yang dikenali sebagai penceramah agama mungkin sedikit terjejas selepas ini.

“Adakah saya bersedia dikecam? Saya memang dah lama dikecam. Apa nak dikisahkan kecaman itu asalkan kita melakukan perkara betul.

“Saya juga nampak memang sudah ada kecaman... di media sosial pun ramai dah komen macam-macam, itu biasalah,” katanya.

Menjelaskan hal itu lebih terperinci, Kazim berkata, dia bersedia dihujani teguran keras terutama selepas kemunculannya buat julung kali di layar lebar melalui filem arahan Mawi, Zim Zim Ala Kazim.

Bagi pendakwah itu, dia rela berdepan dengan apa pun asalkan matlamatnya menjadikan gelanggang seni sebagai medan dakwah serta memberi manfaat kepada ramai mudah terlaksana.

Katanya, antara syarat ditetapkan kepada produksi Zim Zim Ala Kazim sebelum dia memberikan persetujuan dan memulakan penggambaran ialah semua pihak tidak meninggalkan solat lima waktu walaupun sibuk bekerja siang dan malam.

“Sasaran saya yang utama adalah supaya golongan agamawan tidak anggap panggung wayang tempat maksiat. Ini baru permulaan. Saya juga nak agamawan terbabit bidang seni.

“Jika selama ini ada segelintir pihak cakap panggung wayang haram, pelakon itu dan ini, jadi kenapa tidak kita dekatkan diri sekali supaya boleh nasihati produksi untuk penghasilan skrip yang baik untuk tontontan?

“Nanti tak adalah apabila pelakon dah berusia 40 tahun ke atas baru mereka kata nak berhijrah ke arah kebaikan.

"Apa sebelum ini haramkah kerja mereka?" katanya.

Cerita lebih seram

Menurut Kazim hasil prasyarat yang diberikannya semua pelakon dan kru menjaga solat masing-masing pada setiap masa.

Malah katanya dia tersentuh apabila mereka melaksanakan solat Subuh walaupun ketika itu berada dalam hutan.

Kazim berkata demikian selepas pratonton filem Zim Zim Ala Kazim di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Lapan puluh peratus daripada filem itu diinspirasikan daripada kisah sebenar Kazim berdepan ancaman sihir, dunia mistik dan sakit misteri namun diolah serba sedikit serta diselitkan unsur komedi bagi menarik minat penonton.

Selain Kazim yang melakonkan watak utama, karya itu turut dijayakan Bell Ngasri, Man Raja Lawak, Anas Tahir, Shantesh Kumar, Rosnah Johari dan Mawi sendiri.

Zim Zim Ala Kazim bakal menjengah pawagam pada 13 Jun ini.

Kazim berkata sebelum ini, hasratnya untuk mengetengahkan dakwah melalui karya yang diinspirasikan daripada pengalaman hidupnya itu pernah berdepan beberapa kali kegagalan.

Menurutnya, usaha untuk mendekati beberapa pengarah menemui jalan buntu apabila mereka tidak memberi reaksi yang diharapkan atas pelawaannya untuk bekerjasama.

“Saya ada tawar dua tiga pengarah untuk hasilkan filem mengenai saya.

"Saya cakap: kalau mereka fikir cerita mereka seram, cerita saya lagi seram. Tapi mereka hanya senyap, tidak beri respons,” katanya.