Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Siapa M Nasir?

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

KOMENTAR | Dulu-dulu M Nasir pernah tanya sehingga panas satu negara: "Siapa Mahathir?"

Dan kelmarin, membalas undangan Galeri Puteh ke pembukaan pameran “Sesat di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M Nasir” pastinya tidak perlu ditanya pula: “Siapa M Nasir?”

Tapi, sebenarnya siapakah M Nasir? Adakah dia penyanyi? Adakah dia penulis lagu? Apakah M Nasir seorang penyair? Adakah dia jelmaan fantasi pendekar Melayu?

Adakah M Nasir pemberontak? Idola seniman jalanan? Bapa kepada Ilham? Atau mungkin juga kekasih seseorang?

Apakah yang mewajarkan semua itu sehinggakan M Nasir kita raikan?

Pada 1996, M Nasir menjadi subjek kontroversi berikutan jawapan spontannya ketika diasak wartawan untuk memberikan alasan dia tidak hadir pada sesi latihan pembacaan puisi sempena Malam Puisi Utusan.

Semasa ditanya, M Nasir dilaporkan media sebagai bertanya kembali: “Siapa Mahathir?”

Program kali kelima itu menampilkan Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat. Dia yang menjadi perdana menteri ketika itu turut mendeklamasikan sajak Perjuangan Yang Belum Selesai.

Beberapa hari selepas majlis anjuran Kumpulan Utusan itu, Berita Harian melaporkan bahawa Mahathir sebak apabila membaca puisi berkenaan. Akhbar tersebut turut menyiarkan teks penuh sajak Mahathir.

Kenapa M Nasir tidak hadir?

Kerana pada waktu itu M Nasir perlu bergegas balik ke Singapura setelah mendapat berita kematian ayah mentuanya.

Dua yang boleh menjawab

Mungkin di sini kita boleh berfikir sebentar secara tenang - adakah ia wajar atau sebaliknya.

Mungkin ketika M Nasir bertanya “Siapa Mahathir?” itu ia adalah perbandingan yang lurus dari perspektif seorang anak. Sudah tentu nilai keutamaannya adalah seorang ketua keluarga, dan berdepan pula dengan situasi seorang ketua negara.

Dari satu sisi, tidak ada pun unsur kebiadaban mahupun penghinaan di sebalik soalan tersebut.

Sebagai wartawan pula, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang yang berkedudukan perlu diambil serius kerana ia membawa kepentingan di mata orang ramai.

Isu ini bertambah hangat apabila karya M Nasir 'digam' oleh timbalan menteri penerangan pada ketika itu, Suleiman Mohamed, selama 14 hari.

Larangan kerajaan tersebut begitu signifikan sehingga ia menjadi rujukan untuk memberikan gambaran tahap kebebasan bersuara artis pada era pentadbiran Mahathir.

Dan soalan yang sepatutnya ditanya dalam kontroversi “Siapa Mahathir?” ialah "siapa sebenarnya yang bercakap benar?”

Hanya dua individu yang boleh menjawab soalan tersebut. Ironinya, Mahathir bukan salah seorang daripada dua individu tersebut.

Apapun, walau masih ada sedikit mementingkan ‘siapa’ berbanding ‘apa’, tahniah Galeri Puteh kerana menjadi sebahagian daripada faktor untuk terjadinya peristiwa meriah yang menemukan seni visual dengan seni muzik melalui pameran Sesat di Kuala Lumpur.

Pameran khas yang berlangsung sehingga 30 Jun ini meraikan perjalanan seni M Nasir sepanjang 45 tahun.

Ia menampilkan lebih 60 karya yang diinspirasi daripada lagu-lagu ciptaan M Nasir. Antara seniman yang terlibat ialah Masnoor Ramli, Rafiee Ghani, Samsudin Wahab, Hisyamuddin Abdullah, Kide, Syed Fakaruddin, Shafiq Nordin, malah M Nasir sendiri.

Terserah kepada masing-masing untuk menjawab soalan “Siapa M Nasir?” itu.

Boleh jadi - sama dengan arwah Pyanhabib - M Nasir adalah sebahagian daripada ilusi romantik para pemujanya yang seperti penulis, masih 'sesat' di Kuala Lumpur.


NURUL LATIFATULLALLIZA ANUAR mrupakan pemimat umum M Nasir dan pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.