Skip to main
Logo Malaysiakini

Tamara harap bekas teman lelaki dihukum mati

Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

Suspek dalam kes bunuh anak aktres dan model Indonesia, Tamara Tyasmara, sudah diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

Justeru Tamara berharap suspek terbabit - yang juga mantan teman lelakinya - segera dibicarakan di mahkamah kerana dia mahu mendapatkan keadilan buat Raden Andante Khalif Pramudityo atau Dante, 6, yang mati baru-baru ini.

“Saya benar-benar mahu perbicaraan diadakan segera supaya dapat keadilan buat Dante,” katanya dipetik media tempatan.

Tamara Tyasmara, 29, juga berharap Yudha dikenakan hukuman yang seberat-beratnya.

Hal tersebut penting, kata pelakon filem Hantu Nancy itu, kerana Yudha meragut satu-satunya nyawa anak hasil perkahwinan dia dengan Angger Dimas.

“Ini urusan nyawa, bahkan dia masih anak kecil. Kalau tidak dapat hukuman setimpal pasti saya amat kecewa.

“Saya berharap perbicaraan nanti semua terbuka menerima keputusan itu, dan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, itu yang saya harapkan,” katanya.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya, Wira Satya Triputra, Yudha disyaki membenamkan kanak-kanak terbabit ke dalam kolam renang awam sebanyak 12 kali dengan tempoh berbeza-beza iaitu 14 saat, 24 saat, 4 saat, kemudian 2 saat, kemudian 26 saat, 4 saat, 21 saat, 17 saat, 8 saat, dan 26 saat manakala yang terakhir ialah 54 saat.

Aksi pelaku melemaskan Dante ke dalam kolam renang itu jelas terakam pada kamera litar tertutup yang ada di kolam renang.

Kejadian berkenaan didakwa berlaku di Pondok Kelapa, Duren Sawit, Jakarta Timur pada 27 Jan lalu. Yudha sebelum ini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Metro Jaya, Jakarta.

Jika disabitkan kesalahan, Yudha, 33, boleh dikenakan hukuman maksimum iaitu mati atau penjara seumur hidup.

Tamara bernikah dengan Angger pada 1 Mac 2017 namun bercerai empat tahun kemudian.

Yudha pula pernah bernikah pada 2019 dengan Vanessa Natasha dan kemudian bercerai. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan.

Pada masa sama, Tamara Tyasmara berkata, dia bakal dipanggil sebagai saksi perbicaraan kes membabitkan Yudha.

Bahkan katanya, dia juga sudah bersiap-siaga memantau setiap jadual perbicaraan.

“Sangat-sangat bersedia. Walaupun jika saya tidak mengetahui tarikh jadual perbicaraan, saya tetap akan sentiasa bersedia untuk datang,” katanya