Skip to main
Logo Malaysiakini

Mawi harap bahagiakan ibu dengan Zim Zim Ala Kazim

Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

Jika boleh membahagiakan roh ibunya dengan apa saja cara, penyanyi yang kini menjadi penerbit dan pengarah, Mawi, yakin salah satunya ialah dengan menghasilkan banyak karya seni berunsur keagamaan.

Mawi berkata, sebelum bergelar artis suatu ketika dulu dia banyak memikirkan bagaimana ingin memuaskan hati kedua orang tua terutama ibunya, Ramlah Sarlan, selepas menolak hasrat arwah yang bersungguh-sungguh mahu dia menjadi guru agama.

“Mak dan bapa saya suruh saya jadi guru agama, tapi saya sedar yang saya tidak layak.

“Dia ajar saya agama kaw-kaw selain suruh masuk sekolah agama, tapi saya yang tidak berminat.

“Jadi saya terfikir kalau suatu hari berjaya masuk dalam industri seni, apa aku boleh buat?” katanya.

Bagi Mawi yang juga sudah bergelar pelakon itu, impian arwah ibunya untuk melihat dia menyebar dakwah dirasakan tercapai melalui filem Zim Zim Ala Kazim - sebuah kisah diinspirasikan daripada kisah pendakwah bebas, Kazim Elias.

“Saya rasa kalau mak masih ada, saya pasti dia suka,” katanya selepas ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem yang memaparkan 80 peratus kisah benar hidup Kazim menampilkan pendakwah itu sendiri sebagai teraju utama di samping pelakon lain seperti Bell Ngasri, Man Raja Lawak, Iqram Dinzly, Anas Tahir dan Rosnah Johari.

Zim Zim Ala Kazim antaranya menceritakan kisah penyakit misteri serta pelbagai sihir dialami Kazim serta diselit sedikit unsur komedi bagi menarik perhatian penonton.

Naskhah itu bakal menjengah pawagam tempatan pada 13 Jun ini.

Untuk rekod, bapa Mawi, Ani Ahmad, meninggal dunia pada 2003 akibat komplikasi jantung dan buah pinggang manakala Ramlah pada 2019.

Zim Zim Ala Kazim merupakan filem ketiga dihasilkan Mawi selepas Hantu Kuat Ketawa bergenre komedi yang diterbitkan pada 2022 dan Tiada Tajuk bergenre komedi keagamaan (2019).

Banyak selit mesej berguna

Mawi, 40, berkata dia sedar akan cabaran besar menarik minat penonton - termasuk agamawan - untuk ke panggung bagi menyaksikan filem berkenaan.

Hal itu kerana, akui Mawi, masih wujud persepsi bahawa pawagam adalah tempat maksiat.

Tambah mencabar kata Mawi, sebilangan besar golongan itu juga merupakan peminat Kazim yang sering mendengar ceramah-ceramah pendakwah itu di seluruh pelosok negara.

“Ini cabaran paling besar buat saya kerana peminat Ustaz Kazim kebanyakannya terdiri daripada geng surau dan masjid yang suka dengar ceramah agama.

“Saya banyak bercampur pelbagai golongan masyarakat termasuk orang surau dan masjid, memang ada antara mereka anggap menonton wayang di tempat maksiat adalah dosa besar

“Saya tidak menolak mentah-mentah kenyataan mereka itu atau cara mereka berfikir yang sebegitu, tapi sebaliknya ligat berfikir bagaimana nak mengajak geng-geng surau atau masjid ini tengok wayang,” katanya.

Justeru, Mawi berharap dengan menggunakan Kazim sebagai pelakon utama dalam Zim Zim Ala Kazim, dia berharap ia dapat membuka mata serta ruang mengenai kandungan filem yang dipaparkan.

Atas alasan itu, katanya, dia berusaha sehabis baik menghasilkan filem yang menyelitkan unsur keagamaan bagi menepis persepsi negatif golongan tertentu terhadap pawagam.

“Mungkin apabila mereka tengok Ustaz Kazim sendiri berlakon dalam Zim Zim Ala Kazim, mereka akan rasa tidak berdosa kerana banyak mesej berguna kami selitkan,” katanya.