Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada cara lain lebih berkesan bela anak seni, kata aktivis

Artikel ini sudah 24 hari diterbitkan

Sesekali menyantuni seniman atau sasterawan khususnya yang uzur masih tidak memadai untuk menjadikan sesebuah kerajaan dapat dilihat benar-benar prihatin terhadap golongan berkenaan.

Malah Liga Penulis Kelantan menganggap keprihatinan ditunjukkan kerajaan juga lebih tertumpu kepada golongan artis sedangkan mereka sudah ada banyak pertubuhan yang boleh dijadikan tempat mengadu.

Penyelaras Liga Penulis Kelantan Mohd Dahri Zakaria berkata masih ada cara yang lebih baik boleh dilakukan kerajaan jika Putrajaya benar-benar mahu menghargai sumbangan penggiat seni di negara ini.

“Sedangkan golongan karyawan ini hanya ada persatuan sahaja.

Melalui pesatuan, biasanya cuma ahli sahaja yang akan mendapat manfaat. Penulis yang tidak masuk persatuan, tidak akan mendapat apa-apa,” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru Mohd Dahri berpendapat wajar ditubuhkan sebuah badan khusus untuk membela nasib golongan penulis sebaik mungkin.

Mohd Dahri Zakaria

"Perlu diwujudkan sebuah entiti khas, misalnya yayasan, yang fungsi utamanya ialah membantu penulis secara menyeluruh demi kelangsungan hidup mereka.

"Sesuatu penghargaan dan sumbangan pula mestilah diberikan ketika mereka masih hidup, bukannya selepas kematian yang hanya akan mengundang persepsi salah," katanya.

Bagi Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (Asasi) menegaskan keutamaan yang perlu diberikan kerajaan ialah memberikan suntikan dana demi memastikan seseorang penulis boleh menghasilkan karya baru yang berkualiti.

Ketua Satu Asasi, Abu Hassan Morad, berkata bantuan terus yang diberikan oleh kerajaan kepada individu terpilih bukanlah cara paling layak menyantuni karyawan.

“Apa yang penting adalah untuk memastikan mereka boleh menghasilkan karya demi memastikan dunia perbukuan kita dipenuhi dengan hasil penulisan yang bermanfaat buat masyarakat.

“Tambahan pula karya baru itu penting agar penulis-penulis veteran tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya.

Abu Hassan Morad

Baru-baru ini Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai rasa kurang senang sesetengah pihak terhadap cara kerajaan melayan golongan karyawan - khususnya penulis dan budayawan.

Mereka berpendapat ramai tokoh berpengaruh yang menyumbang kepada pembaharuan politik dan sosial dalam negara ini melalui gerakan yang dibawa parti pembangkang suatu ketika dulu.

Bagaimanapun apabila parti terbabit menjadi kerajaan, sumbangan dan jasa golongan terbabit dilihat diabaikan, termasuk ketika mereka berada dalam kesukaran atau uzur.

Lama tak dapat dana

Aktivis budaya dan pensyarah sains politik, Muhaimin Sulam, malah menganggap usahanya mahu memberikan sedikit bantuan kepada golongan terbabit melalui dukungan agensi kerajaan kini seperti meminta sedekah.

Kesulitan itu berlaku ketika anak seni terbabit pernah mengetepikan hidup yang selesa demi membantu parti tertentu agar mendapat sokongan meluas.

Sementara itu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) pula berpandangan, tidak wajar bagi karyawan untuk mengharapkan bantuan daripada kerajaan semata-mata.

Presidennya, Zainal Abidin Borhan, berkata langkah sebegitu bukanlah tindakan yang baik kerana pertukaran kerajaan yang boleh berlaku pada bila-bila masa akan menyebabkan ketidaktentuan dasar berlaku.

“Kalau karyawan terlalu bergantung kepada kerajaan, saya bimbang hasil karya mereka juga boleh dikawal oleh kerajaan kerana mengharapkan budi terbalas,” katanya.

Justeru Zainal Abidin mencadangankan agar diwujudkan satu skim insurans yang berfungsi untuk membantu golongan seniman dan karyawan bagi membantu kebajikan mereka.

“Saya percaya harus ada satu badan agensi yang boleh mengelola tabung ini.

"Mekanismenya ialah setiap hasil royalti karyawan harus ditetapkan peratusan untuk dimasukkan ke dalam tabung ini,” katanya.

DJ Dave

Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, DJ Dave, berkata kerajaan harus memberikan kepercayaan kepada pertubuhan dan yayasan seniman dalam membantu golongan berkenaan melalui suntikan dana.

Dia yang juga penyanyi terkenal berkata, tanpa sokongan daripada kerajaan sukar untuk badan-badan berkaitan berfungsi membantu anak seni yang berdepan dengan ujian hidup.

Malah, katanya, yayasan yang diketuainya itu juga sedang berdepan dengan masalah dana.

“Sudah lima tahun kami tidak mendapat apa-apa dana, sedangkan sekakat ini ada sembilan artis veteran yang kami beri bantuan elaun sebanyak RM500 sebulan,” katanya.

Zed Zaidi

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pula mencadangan kepada kerajaan mewujudkan satu tabung khas buat anak seni.

Mengambil contoh tabung untuk wartawan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini, Presiden Seniman Zed Zaidi, berkata langkah itu diyakini mampu membuka ruang lebih baik untuk anak seni dibela.

Memuji komitmen kerajaan membantu seniman melalui kunjungan Madani yang dilakukan dari semasa ke semasa Zed Zaidi berkata kaedah itu masih boleh ditambah baik.

“Saya cadangkan kerajaan libatkan juga pertubuhan seperti kami dalam aktiviti kebajikan supaya kami boleh memberikan data yang cukup terkait golongan seniman yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.