Skip to main
Logo Malaysiakini

Syair Burung Dalam Sangkar suara naluri Sheqal

Artikel ini sudah 23 hari diterbitkan

Tatkala lagu Sangkar Derita nyanyian Haqiem Rusli menjadi muzik latar hantaran TikToker, Sheqal yang sudah lama menyepi muncul pula dengan Syair Burung Dalam Sangkar.

Bezanya Sheqal kali ini tidak menyanyi sebaliknya mengekpresikan emosinya melalui himpunan puisi-puisi nukilannya.

Menghayati pelbagai judul koleksi puisi dalam buku itu saja sudah cukup untuk kita memahami apa yang tersurat dan tersirat yang mahu diterjemah Sheqal sebagai anak seni.

Ketika ditemui di Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini, Sheqal dengan suara terketar-ketar menjelaskan buku puisinya itu bukan sekadar untuk meneruskan aktiviti seninya.

Penyanyi yang dianggap pelopor kepada irana balada Nusantara itu menjadikan Syair Burung Dalam Sangkar sebagai cara untuk membawa pembaca menyedari hakikat seorang hamba kepada Tuhan.

Selain itu, katanya, buku tersebut diharap sedikit sebanyak memberi sumbangan kepada mengisi keperluan hariannya.

"Sangkar burung saya maksudkan dalam buku ini adalah jasad, iaitu sebenarnya roh kita ini terkurung dalam jasad.

"Punca ramai orang semakin jauh daripada Tuhan ialah sebab roh kita terkurung - kerana itulah saya hasilkan buku puisi ini," katanya.

Dimulai pada muka surat pertama dengan puisi Kalam Bersalam, buku setebal 244 halaman itu menyajikan juga puisi Di Suatu Subuh, Jejak Abah, Senandung Anak, Enak Ciri-Ciri Wanita Keji, Aulia Mulia, Rahsia Di Balik Usia, Syurga, Petaka Celaka, Hati-Hati Dengan Hati dan Mendidik Hati Menjadi Tenang.

Sheqal atau nama sebenarnya Shaharim Sallehuddin, 59, berkata menulis buku (puisi, agama, motivasi) dan melukis antara bidang seni diminatinya selain nyanyian yang ditinggalkan sejak penghujung 1990-an.

"Buku adalah keperluan umat untuk santapan jiwa. Ia sama juga seperti kitab.

"Guru saya pesan, perkara penting yang kita kena tulis ialah berkenaan dengan Tuhan dan Rasulullah SAW.

"Melalui buku kita boleh mendidik orang lain namun sebelum itu kita perlulah terlebih dahulu mendidik diri sendiri agar menjadi contoh," katanya.

Guna masa terluang

Semasa aktif sebagai penyanyi Sheqal sempat menghasilkan album Zapin Rindu-rinduan, Ratib Orang Lautan dan Cinta Nusantara.

Selepas meninggalkan dunia nyanyian sekitar 1998, Sheqal menjadi pakar motivasi selain fasilitator untuk Biro Tata Negara (BTN) yang memberi kursus untuk pegawai tadbir diplomatik, penuntut universiti, guru serta badan kerajaan dan swasta.

"Dua tiga kali ketika memberi motivasi saya deklamasikan sajak juga untuk santapan jiwa peserta.

"Buku puisi saya hasilkan ini dicetak 1,000 naskah dan dijual pada harga RM30 setiap satu," katanya.

Untuk rekod Sheqal kini diuji dengan masalah kesihatan ekoran empat kali diserang strok.

Keadaan itu menyebabkan pergerakannya terhad.

"Nak memandu pun sukar, malah bergerak dalam rumah pun banyak menggunakan kerusi roda.

"Masa terluang di rumah inilah saya gunakan untuk berkarya dengan menulis puisi dan melukis.

“Cuma untuk puisi biasanya saya berkarya selepas solat tahajud," katanya.

Sheqal mempunyai anak masih bersekolah di darjah enam.

Untuk rancangan mendatang dia sedang menyiapkan buku Syair Panjang Untuk Melayu.

Bagi sesiapa yang berminat untuk memiliki buku puisi Sheqal sekali gus memberi sokongan untuk dia meneruskan kehidupan boleh berhubung melalui isteri atau anak-anaknya di talian 018-2528903.