Skip to main
Logo Malaysiakini

Aliff, Bella Astillah bercerai kali kedua

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Pelakon dan penyanyi Aliff Aziz menceraikan isterinya, Bella Astillah dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Aliff melafazkan talak di hadapan hakim syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, pada jam 1.10 perang selepas mahkamah membenarkan permohonan penceraian yang dibuat penyanyi wanita itu pada 11 Mac lalu.

Semasa prosiding, peguam syarie yang mewakili Bella, Azmi Mohd Rais, memberitahu plaintif dalam keadaan suci dan tidak mengandung.

Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah kelihatan tenang ketika lafaz talak diucapkan Aliff. Dia juga bersetuju tidak menuntut mutaah serta nafkah iddah.

Untuk rekod, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun mereka rujuk semula ketika dalam iddah.

Sewaktu prosiding, Azmi berkata, perbincangan dibuat antara kedua-dua pihak termasuk beberapa terma yang sudah dipersetujui bersama.

“Dalam perjanjian itu, ada terma di mana defendan hadir melafazkan cerai dan plaintif melepaskan hak mutaah serta nafkah iddah dan kedua-dua pihak tidak akan menuntut harta sepencarian.

“Aliff lepaskan hak penjagaan anak-anak kepada Bella sepenuhnya selain tidak akan menuntut nusyuz sekiranya ada dan perjanjian itu ditandatangani hari ini,” katanya dipetik Sinar Harian.

Mahkamah merekodkan perjanjian penyelesaian di antara kedua pihak di bawah bidang kuasa mahkamah rendah iaitu berkenaan iddah, mutaah, tunggakan nafkah isteri dan harta sepencarian tidak dituntut antara satu sama lain.

Sebelum ini, Bella memfailkan permohonan cerai secara fast track terhadap pemilik nama penuh Mohamad Aliff Aziz, pada 11 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka tiada persefahaman dan tiada mawaddah (cinta dan kasih sayang).

Perceraian fast track adalah satu proses pasangan bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan berkenaan dan tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes mereka.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 Sept 2016. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.