Skip to main
Logo Malaysiakini

Wawa Zainal berdebar fikir nasib perniagaan

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Sebagai seorang usahawan, pelakon Wawa Zainal mengakui timbul keresahan mengenai nasib untung dan rugi perniagaannya selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun lalu.

Kata isteri kepada pelakon dan penerbit Aeril Zafrel itu, pengapungan harga diesel sekali gus mencetuskan kebimbangan berlaku peningkatan harga barang yang berkemungkinan berlipat ganda.

Malah Wawa membayangkan, senario itu mungkin boleh membebankan sekali gus menjejaskan masyarakat dalam negara ini yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.

“Sudah tentu (beri kesan) sebab apabila harga minyak naik, semua benda lain juga akan turut naik.

“Peniaga misalnya memerlukan shipping (penghantaran) melalui syarikat logistik dan pengangkutan yang guna diesel untuk mengagihkan produk mereka.

“Jadi, ya, agak mendebarkan sebagai peniaga kerana saya takut orang tidak mahu membeli sangat nanti sebab mereka berasakan perlu lebih berjimat-cermat,” katanya.

Walaupun sudah menganggarkan jumlah kenaikan perlu diselaraskan untuk produknya, Wawa, 32, harap perkara itu tidak menjadi satu beban kepada pelanggan setianya.

Justeru, pelakon filem Seram Sejuk itu cuba berfikiran positif terhadap langkah kerajaan tersebut.

“Walaupun kita boleh anggarkan nilainya, kita cuba juga fikir positif. Saya harap pengguna masih sokong perniagaan kami walau apa pun,” katanya selepas majlis pratonton filem Abnormal Buas dilakonkannya di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Abnormal Buas arahan terakhir Allahyarham Azhari Zain dan terbitan pertama syarikat Aeril, Respected Citizen. Ia merupakan naskhah adaptasi daripada novel berjudul sama ditulis Shahriman Wahap, Nadzri Kamsin dan Syamzaly Musa.

Selain Wawa dan Aeril, naskhah itu turut dibarisi pelakon Adlin Aman Ramli, Emelda Rosmila, Kodi Rasheed, Rahim Razali, Nabila Huda, Ahmad Tarmimi Siregar manakala penampilan khas, Ahmad Yatim dan Jalil Hamid.

Filem yang bakal ditayangkan 20 Jun itu turut menampilkan anak Wawa dan Aeril, Hayla Maghrifatul Adziyaa, 5.

Untuk rekod, kerajaan menetapkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada paras RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dengan harga RM2.15 seliter bagi tempoh 13 hingga 19 Jun ini.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Abnormal Buas, Wawa berkata, dia melakonkan watak itu ketika hamil anak keempat, Muhammad Fahri yang kini berusia hampir tiga tahun.

Menurutnya, ketika sesi penggambaran dijalankan, dia sedang sarat untuk melahirkan Fahri dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya bersedia dengan apa saja risiko dan kalau ditakdirkan saya bersalin di set penggambaran pun saya bersedia.

“Saya lahirkan anak kira-kira seminggu selepas penggambaran tamat.

“Alhamdulillah saya tidak alami sebarang kecederaan, tapi sakit perut itu ada. Cuma ada satu babak Aeril tendang dari belakang, dia minta ganti dengan pelakon tambahan sebab dia tidak mahu saya cedera,” katanya.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 2013. Pasangan itu juga dikurniakan dua lagi lagi cahaya mata sebelum ini iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7 dan Ayya Soffya, kini berusia setahun.