Skip to main
Logo Malaysiakini

'Terima kasih bekas sahabat kerana runtuhkan masjid ini'

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Bella Astillah secara sinis mengucapkan terima kasih kepada bekas kawannya, Ruhainies, selepas rumah tangga penyanyi dan pelakon itu dengan Aliff Aziz yang terbina selama lapan tahun berakhir kerana secara rasmi hari ini.

Terdahulu Aliff melafazkan cerai talak satu terhadap Bella di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur petang tadi.

“Berakhirlah kisah kami, dan buat kali terakhir saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies, kerana berjaya meruntuhkan 'masjid' ini dan anak-anak saya kehilangan bapa mereka,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu, dia sentiasa percaya peluang baru mungkin mampu mengubah seseorang menjadi baik.

Bagaimanapun, jelasnya, peluang yang diberikan hanya berbaloi sekiranya ia digunakan seseorang dengan baik.

“Kesalahan yang dibuat berulang-ulang bukanlah satu kesilapan tapi pilihan.

“Saya selalu mengimpikan rumah tangga yang kekal tapi apabila difikirkan balik, seberapa banyak peluang yang saya berikan tapi pada akhirnya saya tidak mampu melawan takdir.

“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini tapi ia menjadi sia sia kerana saya seorang saja yang berjuang,” katanya.

Aliff melafazkan talak di hadapan hakim syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, pada jam 1.10 petang selepas mahkamah membenarkan permohonan penceraian yang dibuat penyanyi wanita itu pada 11 Mac lalu.

Bella kelihatan tenang ketika lafaz talak diucapkan Aliff. Dia juga bersetuju tidak menuntut mutaah serta nafkah iddah.

Untuk rekod, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun mereka rujuk semula ketika dalam iddah.

Bella, 30, dalam kenyataan sama turut berjanji tidak lagi akan mencintai seseorang seperti dia mencintai Aliff.

Hal itu, katanya, kerana jika terlalu mencintai seseorang pasti boleh merosakkan diri sendiri.

“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam kerana jika berpisah, lukanya juga pasti terlalu dalam,” katanya.

Bagi Bella, keputusan untuk bercerai sedikit pun tidak membuatkan dia menyesal bahkan menganggap ia adalah sebahagian ujian dalam hidup.

“Tiada penyesalan. Saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup. Terima kasih buat keluarga, sahabat dan rakan industri serta semua pengikut (media sosial) yang mendoakan kami.

“Semoga doa yang baik-baik berbalok kepada anda semua.

“Jalan terus, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah,” katanya.