Skip to main
Logo Malaysiakini

Muaz doakan Bella temui kebahagiaan dicari

Artikel ini sudah 22 hari diterbitkan

Pelakon Muaz Zabir hanya mampu mendoakan yang terbaik buat Bella Astillah agar pelakon dan penyanyi itu berlapang dada dalam mendepani ujian.

Katanya, dia berharap suatu hari nanti Bella akan menemui kebahagiaan yang dicari-cari artis itu selama ini.

“Kadang-kadang manusia terlampau memikirkan takdir yang berlaku saat itu buruk tapi kita tidak tahu mungkin Allah nak berikan sesuatu yang lebih indah sesudahnya.

“Saya tidak tahu nak rasa kasihan atau apa, tapi sentiasa doakan agar Bella menemui kebahagiaan selepas ini serta kehidupannya berjalan lancar,” katanya.

Ditanya mengenai berita penceraian Bella hari ini, Muaz mendakwa dia tidak tahu-menahu perkara itu kerana terlalu sibuk menjalani kerjayanya seharian selain hanya mengetahui perkara itu selepas orang di sekeliling bercakap mengenainya.

“Saya tidak sempat baca media sosial sebab sejak pagi tadi ada penggambaran.

“Untuk datang ke majlis sidang media ini pun saya minta pelepasan.

“Selepas majlis ini sambung semula penggambaran di Genting Highland,” katanya.

Muaz berkata demikian pada sidang media pelancaran drama Bawah Payung Awan terbitan saluran penstriman Viu di Petaling Jaya hari ini.

Drama itu merupakan adaptasi kedua dari novel tulisan Liza Nur dan diarahkan pengarah Azri Izhar.

Selain Muaz, drama berkenaan turut dibintangi Nabila Razali, Ben Amir dan Nelissa Nizam.

Bawah Payung Awan berkisahkan tiga sekawan iaitu Widad (Nabila), Soleiman (Ben Amir) dan Hanan (Nelissa) yang dibesarkan di sebuah kawasan setinggan yang menjadi sarang penjenayah.

Widad, anak seorang pelacur, berusaha keras untuk mencari jalan keluar dengan belajar bersungguh-sungguh. Soleiman yang menjadi mangsa dera ayahnya sejak kecil keliru dalam mencari identiti diri selepas abangnya meninggal dunia semasa melarikan diri daripada pihak polis.

Hanan yang dirogol abang sendiri semasa berusia sembilan tahun dan dibenci ibu kandung pula mencari kebebasan dan berpeleseran dengan mat motor.

Spekulasi Muaz menjalin hubungan dengan Bella tercetus selepas tersebar beberapa foto mereka berdua pada Mac lalu. Ketika itu Bella masih bergelar isteri kepada Aliff.

Aliff melafazkan cerai talak satu terhadap Bella, 30, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Muaz berkata dia enggan mengulas terperinci soal itu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.

Hal itu terutama, katanya, selepas dia dan Bella mengambil keputusan untuk menjalani hidup masing-masing bagi mengelak gosip berterusan.

“Saya tiada hak untuk beri sebarang komen kerana bimbang apa saja keluar dari mulut saya disalah erti netizen.

“Jadi lagi baik saya diamkan diri,” katanya.

Muaz berkata hubungan dia dengan Bella ketika ini adalah profesional dan berlaku atas dasar kerja semata-mata.

Menurutnya, dia enggan menambah musuh disebabkan indstri hiburan ini kecil.

“Pusing mana-mana pun akan bertemu juga.

“Jadi, saya tidak mahu tambah musuh dalam kehidupan. Nak kata kami berkawan pun tidak, bergaduh pun tidak.

“Tapi kalau digandingkan sekali pun nanti, kami akan bersikap profesional dan hanya fokus pada urusan kerja saja,” katanya.