Skip to main
Logo Malaysiakini

Meraikan 'sesat' berjalan di Kuala Lumpur

Artikel ini sudah 19 hari diterbitkan

"Ini aku respek Nizam," kata Sinaganaga sambil mengangkat makalah The Blank Canvas. Makalah tersebut adalah katalog untuk pameran Sesat Di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu M Nasir.

Sinaganaga ialah orang buku atau - lebih tepat lagi - orang yang bertanggungjawab menaikkan semula buku-buku swaterbit.

Sinaganaga digelar sebagai Bapa Buku Indie Moden Malaya sedangkan dia lebih suka jika digelar hanya sebagai ‘abang’. Dia agak merendah diri orangnya.

Dan tentu dia suka apabila masih ada galeri yang sedia untuk berbelanja sedikit untuk menerbitkan katalog fizikal bagi setiap pameran mereka.

Galeri Puteh masih mengekalkan tradisi katalog kertas berbanding katalog atas talian. Menurut Naga, Nizam mengatakan bahawa katalog atas talian "tidak ada soul".

Menurut kami pula, "Nak ada soul, PA system galeri kena beli baru laaa, Pitahati kot yang main!"

Dan siapa yang mahu diraikan oleh galeri tersebut agaknya apabila nama makalah itu bukan Kanvas Kosong?

Pun begitu, galeri-galeri yang ada boleh mencontohi Galeri Puteh dalam hal penerbitan makalah tersebut. Kami tidak rasa belanja untuk itu adalah terlalu mahal.

Pameran Sesat Di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Galeri Puteh adalah pameran yang harus dilawati oleh semua orang. Ia sebuah pameran yang meraikan seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada kelainan muzik di negara kita.

Sebanyak 60 buah karya daripada lebih 30 orang pelukis dipamerkan.

Ia merupakan tafsiran pelukis kepada lagu-lagu yang pernah dihasilkan oleh M Nasir.

Antara lagu yang menjadi pilihan pelukis yang terlibat dalam pameran itu ialah Balada Osman Tikus, Bunga Bakawali, Bas Nombor 13, Suatu Masa, dan Sesat Di Kuala Lumpur.

Yang lebih menarik adalah apabila lagu-lagu yang dipilih untuk ditafsir itu datang dari nyanyian kumpulan Kembara dan dari album solo awal seniman tersebut walau dia diketahui banyak mencipta lagu untuk penyanyi lain.

Memang tidak menghairankan apabila pelukis-pelukis yang lebih senior memilih lagu-lagu yang mewakili zaman mereka (1980-an hingga 1990-an).

Terus lara dek gagal bercinta

Pelukis-pelukis seperti Masnoor Ramli, Tapa, Foad Hassan, Rafiee Ghani,  Fuad Arif serta Che’ Ahmad Azhar tentu saja mempunyai kenangan yang mengasyikan.

Justeru tentu mereka tidak mempunyai masalah untuk menterjemahkan lagu-lagu tersebut ke atas kanvas.

Namun begitu, yang mengujakan juga adalah apabila pelukis angkatan baru seperti Syed Fakarudin, Najib Bamadhaj, Hidayat Arsad, Aimman Hafizal, Husin Othman, Kide Baharudin, Burhanuddin Bakri, Samsudin Wahab, Shafiq Nordin, Hishamuddin Abdullah, Fazri Abdul Rahman, Issarezal Ismail, Azad Daniel Haris dan ramai lagi berjaya keluar dengan karya-karya yang mempesona.

Mungkin itu adalah bukti bahawa karya-karya M Nasir berjaya melangkau zaman. Dan memang selayaknya karya-karya yang baik mempunyai sifat yang begitu.

Walaupun tidak menzahirkannya secara terus, seniman itu berkata bahawa hari ini adalah agak sukar untuk menemui penulis lirik yang bagus.

Menurut  M Nasir, pengalaman hidup memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesuatu karya. Tidak salah jika kita menghasilkan lagu-lagu popular hanya dikhaskan untuk hiburan.

Pada masa yang sama suatu bentuk pemikiran mesti ada pada sebilangan pembikin lagu.

Hal tersebut - walaupun mungkin tidak akan mengubah apa-apa - namun sekurang-kurangnya pendengar boleh membuat pilihan sama ada mahu terus lara dek kegagalan cinta, atau mereka boleh melayan perasaan menikmati keindahan alam menerusi lagu ala Ekspres Rakyat misalnya.

Hari ini pemusik kita lebih asyik menghasilkan lagu-lagu yang cepat dan segera popular. Sepertimana lagu-lagu itu segera naik, begitu jugalah ia akan segera dilupakan.

Pelukis yang menyertai pameran Sesat Di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu M Nasir rata-rata mengambil terus lagu-lagu yang mereka pilih untuk ditafsirkan.

Kita dihiburkan dengan pelbagai corak lukisan tanpa perlu letih memikirkan apa yang mahu disampaikan oleh pelukisnya.  

Pameran tersebut juga dilihat berjaya mengumpul ramai penggiat dalam pelbagai cabang seni untuk datang meraikannya.

Pada hari pembukaan, kelihatan penulis, pelakon dan juga pemuzik datang memberi sokongan. Itu adalah satu petanda yang baik untuk sebuah pameran lukisan yang biasanya hanya dihadiri oleh pelukis dan penggemarnya sahaja.

Sesat Di Kuala Lumpur: Lagunya Begini, Tampaknya Begitu M Nasir yang meraikan 45 tahun seniman tersebut berlangsung di Galeri Puteh, Eco City Mall, Kuala Lumpur dari 8 Jun sehingga 30 Jun.