Skip to main
Logo Malaysiakini

Kevin Jonas nasihat peminat kerap periksa tahi lalat

Artikel ini sudah 19 hari diterbitkan

Anggota kumpulan popular AS, Jonas Brothers, Kevin Jonas mengingatkan pengikutnya di media sosial agar sentiasa membuat pemeriksaan tahi lalat dengan pakar kulit.

Katanya, ia supaya pengesanan kanser dapat dikesan lebih awal.

“Jadi hari ini saya sudah selesai jalani pembedahan dan kini dalam tempoh penyembuhan.

“Pastikan anda sentiasa peka dengan tahi lalat yang mungkin menyebabkan berlakunya kanser,” katanya.

Abang kepada Joe Jonas, Nick Jonas dan Frankie Jonas itu berkata demikian susulan diagnosis yang mengesahkan dia menghidapi kanser kulit.

Susulan itu, Kevin membuang tahi lalat pada bahagian dahinya.

“Saya telah menjalani pembedahan bagi membuang karsinoma sel basal pada dahi. Ia adalah kanser kulit yang jika dibiarkan boleh merebak,” katanya dipetik CNN.

Karsinoma sel basal adalah kanser kulit paling ringan. Kanser ini dinamakan sedemikian kerana ia bermula dari kumpulan sel yang disebut sebagai sel basal.

Sel basal merupakan sel paling bawah pada epidermis. Ia berubah menjadi kanser apabila terdapat mutasi pada DNA disebabkan terdedah pada sinaran UV dari cahaya matahari dan lampu serta tilam tanning.

Bahagian badan paling kerap terdedah kepada cahaya adalah paling berisiko. Kanser kulit sering berlaku di badan, kaki dan tangan.

Kevin menerima banyak sokongan di ruangan komen pada hantaran yang dikongsikannya termasuk daripada akaun Instagram Yayasan Kanser Kulit.

“Bersimpati terhadap kanser yang dihidapi. Terima kasih kerana memupuk kesedaran awam. Pengesanan awal adalah kunci. Semoga kamu segera sembuh,” kata akaun berkenaan.

Jonas Brothers dijangka meneruskan konsert jelajah mereka di Mexico ketika ini pada Ogos depan.