Skip to main
Logo Malaysiakini

Rugi cecah RM1j, Riezman lega ada pihak didakwa

Artikel ini sudah 19 hari diterbitkan

Penganjur konsert Goyang Asli Koplo Milenia, Riezman Khuzaimi, hari ini lega selepas individu yang didakwa menyeleweng wang berjumlah RM237,370 untuk kegunaan program berkenaan dihadapkan ke mahkamah.

Riezman yang juga pelakon itu berkata, dia berasa sedikit lega kerana kes itu mendapat pengadilan selepas hampir setahun berjalan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebab dengan bantuan mereka, (suspek) ini telah pun berjaya ditahan selepas kami memberikan beberapa bukti kepada mereka,” katanya dipetik Kosmo.

Seorang wanita yang merupakan perunding pengurusan acara didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalah guna wang berjumlah lebih RM200,000 berhubung penganjuran konsert itu tahun lalu.

Rabiatul Adawiyah Izzaddin, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Rabiatul Adawiyah didakwa telah mengambil wang milik Syarikat Mission Sight Sdn Bhd berjumlah RM237,370 bagi menguruskan Konsert Goyang Asli Konsert Goyang Asli Asia-Koplo Milenia.

Namun tertuduh gagal berbuat demikian serta menggunakan wang tersebut bagi kegunaan sendiri ketika dia tahu wang tersebut bukan miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di padang Equestrian, Bukit Kiara antara 7 Mac hingga 15 Mac 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Menurut Riezman, 54, disebabkan penipuan berkenaan dia mengalami trauma berikutan kerugian teruk untuk menjayakan konsert itu tahun lalu.

“Saya dan pasukan ditipu sehingga menjadi trauma sebab ini adalah pembabitan kali pertama saya menganjurkan konsert.

“Kalau dihitung jumlah kerugian yang terpaksa kami tanggung ia mencecah RM1 juta,” katanya.