Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas 20 tahun baru Aedy Ashraf boleh kecek Kelate

Artikel ini sudah 17 hari diterbitkan

Pelakon Aedy Ashraf meluahkan perasaan seronok apabila penantiannya selama 20 tahun untuk kecek Kelate (bercakap loghat Kelantan) dalam naskhah seni akhirnya tercapai.

Bagi anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, peluang berdialog dengan dialek negeri sendiri dipercayainya menjadi antara wadah terbaik yang memancarkan jati diri seseorang.

“Bahasa Perak, Kedah dan Pahang dah berjaya buat, jadi, yang ini satu-satunya baru dapat.

“Sebenarnya sudah lama saya tertunggu-tunggu tawaran yang memerlukan saya bercakap dialek Kelantan.

“Saya memang berasal dari Kelantan, ayah saya orang Kelantan dan masih ada saudara-mara menetap di sana,” katanya yang pernah menjayakan watak berbahasa Perak, Kedah dan Pahang sebelum ini.

Justeru, Aedy, 30, menjelaskan, dia nekad memberikan yang terbaik sewaktu diminta hadir pada sesi uji bakat filem Kahar Kapla High Council.

“Inilah masanya, sebab saya tidak pernah beritahu orang lain saya boleh bercakap Kelantan.

“Apabila ada sesi uji bakat, saya memang tunjuk kebolehan saya dan lega apabila penulis skrip beritahu cara saya sampaikan watak Beja itu begitu dekat dengan apa yang dibayangkannya,” kata Aedy.

Aedy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman filem berkenaan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Berkongsi pembabitannya dalam naskhah diarahkan Razaisyam Rashid itu, Aedy berkata, dia berasa teruja apabila diminta menjalani uji bakat.

Katanya, sewaktu menyaksikan siri Projek: High Council arahan Anwari Ashraf tahun lalu, dia rasa 'rugi' kerana tidak dipanggil turut serta dalam naskhah yang mempunyai pengarahan, skrip mahupun lakonan yang serba-serbi baik.

“Sebelum ini saya terlibat dalam Projek: Anchor SPM (pada 2021) dan saya sudah tutup ‘zaman persekolahan’ saya dengan siri itu.

“Tapi apabila saya tonton Projek: High Council, saya terfikir kenapa mereka tidak ajak saya berlakon juga.

“Apabila saya diajak uji bakat untuk filem yang berkaitan dengan karya itu saya memang tidak fikir panjang,” katanya.

Untuk rekod, Anwari tidak dapat meneruskan arahan untuk filem Kahar Kapla High Council berikutan komitmen terhadap filem Keluang Man.

Bagi Aedi, walaupun sudah lama terlibat dalam dunia lakonan, proses persediaan dilalui sebelum penggambaran filem itu tidak pernah dilalui sebelum ini.

Katanya, untuk Kahar Kapla High Council proses berkenaan lebih tegang (intense) dan lebih bagus.

“Saya tidak rasa akan ada yang lagi best,” katanya.