Skip to main
Logo Malaysiakini

Makan nasi dengan minyak ikan perkara biasa - Mila Jirin

Artikel ini sudah 15 hari diterbitkan

Di sebalik kejayaan serta kesenangan hidup yang dikecapi penyanyi dan usahawan, Mila Jirin ketika ini, ternyata banyak pengorbanan yang perlu dilakukannya sebagai anak sulung.

Mila mendedahkan, kehidupan keluarganya begitu daif suatu ketika dulu hingga kedua-dua ibu bapanya perlu bekerja dari siang hingga malam demi mencari rezeki biarpun adakala pendapatan diterima tidak seberapa.

“Keluarga saya sangat daif dahulu. Ayah tidak ada kerja tetap, sebelum ini hanya kerja kampung di siang hari dan malam ayah main muzik. Ayah kerja macam-macam termasuk kerja kampung, main muzik, melukis dan cari barangan terpakai untuk dijual semula.

“Mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan itu biasa, makan nasi dengan air garam itu biasa. Teman ayah menjala ikan di laut tengah malam dan tunggu dalam gelap di pantai.

“Rumah tanpa elektrik hanya lampu gasolin menemani kami. Bumbung rumah bocor apabila hujan lebat mesti penuh dalam rumah dengan baldi atau periuk. 

“Sebagai kakak sulung waktu itu dah boleh berfikir dan menyaksikan pengorbanan mak ayah dalam membesarkan kami adik beradik,” kata Mila.

Melihat kesusahan dialami keluarga, Mila atau nama Norsyarmilla Jirin yang ketika itu sudah menginjak usia 19 tahun bertekad mahu mencari jalan keluar termasuk mengambil penuh tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengubah nasib dirinya bersama keluarga.

Mila berkata, sebagai anak sulung, dia sanggup berkorban apa saja demi membantu memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.

“Saya korban apa saja untuk keluarga dan Alhamdulillah di usia 19 tahun saya sudah menggalas tanggungjawab menjaga mak ayah dan adik-adik serta menjadi ketua keluarga. Saya minta mak ayah berhenti kerja.

“Sebenarnya, apabila sekarang ini saya lihat semula, setiap apa ujian yang Allah berikan buat kami sekeluarga adalah untuk membuatkan kami jadi lebih kuat, membuatkan saya jadi kuat untuk berjuang.

“Waktu susah, hinaan dari orang sekeliling itu adalah perkara biasa yang kami terima, tetapi kata-kata hinaan itulah yang membuatkan saya memberontak untuk keluarkan keluarga dari kesusahan.

“Ketika usia saya 21 tahun, dengan izin Allah, saya dapat tunaikan janji dengan diri sendiri untuk hadiahkan sebuah rumah kepada mak ayah dan adik-beradik,” katanya.

Atas alasan itulah Mila mahu mengabadikan kisah berkenaan menerusi cerita pendek berjudul Kakak yang juga karya istimewa sempena Hari Raya Aidiladha dan akan ditayangkan di semua platform media sosial Bizmilla Wedding Centre dan Mila Jirin.

Karya itu berkisahkan pengorbanan seorang kakak yang menyaksikan kesukaran mak dan ayah dalam membesarkan anak-anak dan mencari rezeki demi keluarga. 

Kisah itu menceritakan pengalaman sebenar hidup Mila sebagai kakak sulung yang memahami kesukaran ibu bapanya dan disebabkan itu dia membuat keputusan besar dalam hidup walaupun ia amat sedih.

Kata Mila dia tetap berkorban demi membantu keluarga mencari rezeki bersama ibu bapanya dalam membesarkan adik-beradik. 

“Tujuan utama penghasilan cerita pendek Kakak adalah untuk memberi inspirasi kepada semua bahawa di sebalik setiap kesulitan pasti ada kemudahan.

“Kesulitan yang kita hadapi adalah yang mengajar kita erti kehidupan sebenar dan menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya,” katanya.

Cerita pendek itu ditulis oleh Mila dan diterbitkan pasukan media dari Bizmilla sebagai karya istimewa sempena Aidiladha selain diarahkan oleh Wan Ahmad Adlan serta dibantu oleh Hayati Hashim. 

Mila juga meluahkan rasa gembira kerana ibu (Reena Haron) serta bapanya (Jirin) dan adik (Effa Jirin) serta anak buah (Suffiya) turut bersetuju untuk bersama-sama dalam menjayakan penggambaran itu.

Dengan penglibatan mereka, ia telah memberikan kesan yang lebih mendalam kepada penghayatan serta penyampaian cerita berkenaan.

“Kami berharap sedikit input dari cerita pendek tentang kehidupan kami ini dapat memberikan suntikan semangat terutama kepada mereka yang sedang diuji Allah dengan kesempitan kehidupan, masalah kewangan, dan dalam perjuangan membesarkan anak-anak. 

“Perkara penting yang saya pelajari dalam kehidupan saya adalah milik kita manusia adalah usaha, hasil dan keputusan adalah milik Allah kerana Allah maha tahu yang terbaik buat hamba-Nya,” katanya. 

 Mila, seorang penyanyi dan usahawan berjaya, memulakan kerjaya nyanyiannya pada usia 19 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian popular di Malaysia, Akademi Fantasia musim ke-5. 

Dia menjadi wanita pertama memenangi pertandingan tersebut selepas empat tahun dimenangi oleh peserta lelaki.