Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tiada yang berubah, cuma dia bukan milikku dalam Islam'

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Bekas suami kepada Nora Danish, Nedim Nazri berkongsi luahan kata-kata yang membayangkan perasaannya ketika ini selepas rasmi bercerai dengan aktres itu malam tadi.

Bagi Nedim, tiada apa pun yang berubah walaupun mereka kini tidak lagi mempunyai ikatan sah sebagai suami dan isteri.

“Tiada yang berubah, cuma dia bukan milikku dalam Islam,” katanya beberapa jam selepas cerai dilafazkan di media sosial miliknya.

Spekulasi keretakan rumah tangga Nora akhirnya terjawab selepas dia dan Nedim, 40, bercerai talak satu.

Lafaz cerai itu dilakukan hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Pasangan itu bersetuju berpisah secara baik selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Namun, Nora, 42, dilaporkan menafikan penceraian berlaku disebabkan masalah kewangan.

Aktres itu dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.

Nora yang juga pelakon filem Suamiku Jatuh Dari Langit itu sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006. Mereka bercerai dua tahun kemudian. Hasil perkahwinan itu Nora dan Jejai dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15,

Namun, Nedim yang juga anak Duta Besar Malaysia ke AS dan bekas ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz itu percaya dengan qada dan qadar Tuhan.

Katanya, sekiranya jodoh masih berpanjangnan dia pasti ditakdirkan kembali bersatu dengan Nora pada bila-bila masa.

“Percayalah kalau dia milikku, dia akan kembali milikku,” katanya.