Skip to main
Logo Malaysiakini

'Presiden Snow' meninggal dunia

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

Bintang legenda Hollywood, Donald Sutherland - yang popular melalui wataknya sebagai Presiden Snow dalam filem The Hunger Games - meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas menderita sakit.

Berita dukacita itu dimaklumkan anak lelaki Donald yang juga pelakon terkenal, Kiefer Sutherland.

“Secara peribadi saya fikir bapa antara pelakon terpenting dalam sejarah perfileman.

“Dia tidak gentar dengan peranan yang dibawa, sama ada baik, buruk atau hodoh.

“Bapa menyukai pekerjaan dilakukannya dan membuat apa yang digemarinya. Dia melalui kehidupan yang baik,” katanya dipetik CNN.

Donald mencatat hampir 200 kredit untuk namanya dalam kerjaya bidang seni yang menjangkau lebih setengah abad.

Dilahirkan di New Brunswick, Kanada, Donald memulakan langkah awal dalam industri sebagai wartawan penyiaran radio sebelum berpindah ke London pada 1957 untuk pengajian di Akademi Muzik dan Seni Dramatik.

Antara watak awal yang melonjakkan nama aktor itu adalah The Dirty Dozen yang ditayangkan pada 1967, Kelly’s Heroes dan M*A*S*H (1970).

Donald pernah menjalin hubungan romantis bersama aktres Jane Fonda, gandingannya dalam filem arahan Alan J Pakula (1971) Klute, selama dua tahun.

Pelakon itu juga pernah berlakon dalam filem . dan membawa watak utama dalam filem remake (1978), Invasion of Body Snatchers serta filem yang memenangi Anugerah Oscar, Ordinary People.

Dia kemudian beralih arah ke penerbitan televisyen pada tahun 2000 dan muncul dalam drama bersiri seperti Dirty Sexy Money serta Commander-in-Chief.

Walaupun pernah membawa banyak peranan, nama Donald tidak pernah dicalonkan untuk Oscar, sebaliknya dia pernah menerima Anugerah Kehormat Akademi pada 2017.

Selain berlakon, Donald juga terkenal sebagai aktivis politik yang memprotes perang Vietnam bersama Jane.

Donald percaya beberapa watak dibawakannya boleh mengetengahkan mesej berguna kepada penonton termasuk karakternya sebagai Presiden Snow.

Misalnya dalam The Hunger Games: Mockingjay - Part 2, pelakon itu berharap penonton khususnya generasi muda mempunyai kesedaran sosiopolitik terhadap dunia sekeliling mereka.

Susulan kematian Donald, akaun rasmi X filem The Hunger Games menulis penghormatan buat kali terakhir buat mendiang.

“Kami sengaja meminta lelaki paling baik di dunia untuk menjayakan watak diktator paling kejam dan korup itu.

“Begitulah kehebatan dan kemahiran lakonan dimiliki Donald Sutherland kerana berjaya mencipta satu lagi watak yang tidak akan dilupakan sepanjang kerjayanya.

“Kami bertuah dapat mengenali dan bekerja dengannya,” kata akaun itu.