Skip to main
Logo Malaysiakini

Aeril mohon bantuan orang ramai jejak penceroboh

Artikel ini sudah 10 hari diterbitkan

Pelakon dan penerbit filem Aeril Zafrel memohon orang ramai membantu menjejaki individu mencurigakan yang didakwa menceroboh rumahnya dua hari lalu.

Aeril turut berkongsi satu hantaran video rakaman litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap ke kawasan rumahnya di Instagram hari ini.

“Siapa kenal budak ini tolong saya. Budak ini panjat rumah saya dan apabila tengok, nampak dia letak barang.

“Kalau kenal tolong maklumkan kepada saya,” katanya.

Aeril, 35, turut berkongsi video yang diperoleh daripada jiran yang sempat merakam detik-detik lelaki terbabit berlari tergesa-gesa ke motosikalnya.

Motosikal itu diparkir di lorong berhampiran rumah mereka.

Pada hantaran lain dikongsikan di Instagram, Aeril memuat naik imej objek dipercayai batang pinang bersama kulit limau yang dibakar dan didakwa ditinggalkan individu terbabit.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis bagaimanapun setakat ini sukar membuat pengecaman berikutan imej rakaman CCTV yang kurang jelas.

“Laporan sudah dibuat tapi susah nak kesan kerana nombor pendaftaran motornya tidak dapat dilihat melalui rakaman CCTV itu,” katanya.

Sewaktu ditemui pada majlis pratonton Abnormal: Buas di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini, isteri Aeril, Wawa Zainal pernah mendedahkan mereka sering menerima pelbagai objek mencurigakan sejak awal perkahwinan.

Pelakon dan usahawan itu berkata, objek-objek aneh tersebut banyak ditemui di kawasan rumahnya.

“Baru dua, tiga hari lalu jumpa batang pinang, kulit limau dan wang syiling yang dibakar.

“Orang yang buat ini tidak rasa takut. Kalau kita nak buat orang, mesti kita akan terfikir apa balasan di akhirat dan kifarah di dunia.

“Hal ini menyebabkan saya trauma untuk muncul di khalayak, rasa nak duduk belakang tabir saja, tapi disebabkan saya berniaga, sukar untuk berbuat demikian,” katanya.