Skip to main
Logo Malaysiakini

Alan Walker terpaksa tunda konsert esok

Artikel ini sudah 10 hari diterbitkan

Deejay Electronic Dance Music (EDM), Alan Walker terpaksa menunda konsert Walkerworld Tour yang sepatutnya berlangsung di Sunway Lagoon, Subang Jaya esok atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.

Alan yang memaklumkan perkara itu melalui Instagram peribadinya hari ini berkata konsert itu tetap akan diadakan pada tahun ini pada satu tarikh baru yang akan diumumkan kelak.

“Beberapa minggu kebelakangan ini, saya bersama pasukan telah bekerja keras menyusun persembahan Walkerworld terbesar di Malaysia pada Sabtu ini.

“Bagaimanapun dengan rasa sangat sedih, saya terpaksa maklumkan bahawa disebabkan oleh keadaan yang tidak dijangka dan di luar kuasa saya serta pasukan saya, kami terpaksa menangguhkan pertunjukan Walkerworld di Malaysia hingga satu tarikh lain pada tahun ini.

“Saya sangat kesal atas pengumuman saat akhir ini dan mengecewakan anda semua,” katanya.

Selebriti kelahiran Norway itu berkata, peminat boleh mendapatkan semula pulangan wang untuk tiket yang dibeli daripada pihak penganjur.

“Sekiranya ada daripada anda yang tidak sanggup dan mampu menunggu hingga kami kembali, anda boleh meminta bayaran balik untuk tiket anda daripada penganjur tempatan, Megatix.

“Anda boleh mengemukakan permintaan bayaran balik anda kepada [email protected] sebelum 5 petang, 20 Julai 2024.

“Sekali lagi, kami memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan persembahan ini seperti yang dirancang, tetapi saya benar-benar berharap dapat berjumpa anda semua tidak lama lagi,” katanya.

Hasil tinjauan Malaysiakini di ruang komen mendapati rata-rata peminat yang sudah membeli tiket meluahkan kekecewaan mereka.

Ada di antara mereka sudah berada dalam perjalanan dari pelbagai negara seperti Australia dan Jepun malah tidak kurang juga yang sudah berada berdekatan lokasi konsert.