Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Melawan propaganda dengan lagu

Artikel ini sudah 8 hari diterbitkan

ULASAN | Tentu ada sebab mengapa seorang genius seperti P Ramlee mengguna pakai melodi lagu Aikoku Koshinkyoku yang diolah seni kata untuk digunakan dalam filemnya.

Biar saya kembalikan ingatan kita kepada filem Laksamana Do Re Mi.

Sewaktu Do, Re dan Mi duduk di atas tikar pandan terbang menuju ke negeri Pasir Berdengung, ada sebuah lagu yang mereka bertiga nyanyikan secara dalam penerbangan ajaib berkenaan.

Lagu itu ialah sebuah lagu Jepun berjudul Aikoku Koshinkyoku iaitu lagu propaganda yang dicipta pada 1937.

Ia telah digunakan secara meluas dalam kempen imperialis mereka di Jepun dan di Tanah Melayu bagi menyemai rasa cinta pemerintah, selain menaikkan semangat patriotistime tentera dan rakyat.

Tentulah menarik untuk kita fikirkan mengapa P Ramlee menyadur sebuah lagu propaganda Jepun untuk diberikan lirik baru dan dimasukkan pada babak Do, Re dan Mi terbang mahu berjuang.

Tetapi ada sesuatu yang lebih menarik untuk kita fikirkan - iaitu apabila kerajaan perpaduan sekarang ini nampak perlahan dan agak ketinggalan dalam strategi penerangan mempertahankan diri mereka daripada segala serangan.

Seperti yang pernah dilakukan P Ramlee, Putrajaya juga sepatutnya menggunakan metode serupa bagi melawan doktrin-doktrin jahat serta menepis segala naratif sesat pembangkang - iaitu melalui lagu.

Ya, kerajaan perlu melawan propaganda dengan lagu!

Serangan yang tak dilawan

Idea inilah yang mahu saya ketengahkan dalam keserabutan seribu satu isu yang nampaknya masih banyak kelompongan dari segi strategi pertahanan diri. Kempen-kempen penerangan kerajaan jelas masih perlahan, malah ketinggalan.

Tidak kurang juga isu kecekapan yang rendah mengurus lambakan damage yang sengaja ditimbulkan pihak pembangkang.

Saya berada dalam mood kerajaan perpaduan sewaktu menulis artikel ini. Saya berpendapat kerajaan hari ini mestilah diberikan ruang dan peluang memerintah melalui modul perpaduan yang bersandarkan model kerajaan campuran yang saling terbuka untuk berkompromi sewaktu tiada mana-mana parti mendapat majoriti mutlak di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun kebelakangan ini terdapat banyak sekali lagu berunsur propaganda yang meremehkan usaha serta merendahkan imej kerajaan perpaduan. Ia menjadi lebih malang apabila serangan itu langsung tidak dilawan.

Dengarkan saja beberapa lagu Walanon yang menyebalkan. Menggunakan lagu-lagu popular yang diubah suai liriknya, kalau tidak ditangani dengan cara melawannya dengan lagu juga, kerajaan pasti berdepan dengan masalah besar.

Melawan lagu (pembangkang) dengan lebih banyak lagu (kerajaan) itu - jika dilakukan - paling tidak akan mencapai tiga perkara asas dalam ilmu propaganda.

Pertama, ia akan dapat menyempadankan semula batas yang memisahkan kebaikan dilakukan kerajaan dengan cerita-cerita buruk yang sengaja disebarkan pembangkang.

Kedua, dapat mengembalikan rasional dan kewarasan rakyat daripada terus dimanipulasi emosi mereka oleh pihak pembangkang.

Dan ketiga, menjadi medium penyatuan yang dapat membina kefahaman lebih jelas namun santai dan berkesan.

Ini sekali gus dapat menolak segala propaganda tuduhan pihak lawan. Pada masa sama ia berupaya menjejaskan dasar dan agenda kerajaan.

Menurut sesetengah orang, sesebuah lagu menjadi sedap, popular dan diminati ramai mungkin kerana melodinya enak didengar. Tetapi boleh jadi juga kerana liriknya menarik, manakala alunan iramanya menggegarkan.

Lagu ada emosi, semangat

Melengkapkan pakej itu ialah kelunakan suara penyanyi atau gaya orang yang mendendangkannya.

Tapi saya tetap berpandangan sesebuah lagu itu hanya dapat digemari ramai, menjadi popular dan dianggap sedap disebabkan ia diperdengarkan secara berulang-ulang kepada khalayak.

Lagu propaganda (kerajaan) yang melawan lagu propaganda (pembangkang) akan menjadi rhetoric empowers kepada pemerintah dalam menjalankan khidmat kepada rakyat.

Program melawan lagu propaganda lawan akan serta-merta menghidupkan alam retorik yang menyentuh keprihatinan sosial, kemunasabahan falsafah dan kreativiti artistik.

Segalanya itu berupaya dibuktikan dengan carta atau graf saintifik dan data-data matematik. Itulah langkah yang penting dan mesti dilakukan oleh kerajaan.

Lagu-lagu propaganda yang dihasilkan itu nanti boleh saja berirama sedih, bersemangat atau mengembirakan.

Apa yang lebih penting ialah, lagu itu mesti mempunyai semangat dan emosi yang kemudian berupama mendorong tindakan rakyat.

Di Itali, lagu Bella Ciao - yang asalnya sebuah lagu rakyat popular pada penghujung abad ke-19 - diberikan nafas baru sebagai lagu propaganda untuk rakyat Itali menentang pendudukan tentera Nazi.

Dalam sejarah negara ini, sudah pernah ada lagu propaganda berjudul Setia disiar secara berulang-ulang pada 1988. Lagu itru terbukti sangat membekas di hati rakyat.

Begitu juga dengan lagu Inilah Barisan Kita ciptaan Saifoel Bahari Elyas nyanyian Jamaludin Alias yang menjadi sangat diterima ramai.

Popularnya lagu itu terbukti jelas apabila ia diterima merentasi ideologi parti. Kerana itu, Inilah Barisan Kita dikumandangkan Umno atau PKR ketika kedua-dua parti terbabit berentap di PRK Ijok pada 2007.

Situasi yang sama juga dapat kita lihat sewaktu lirik ‘hoi, hoi ya hoi’ menghiasi lagu Aduh Malaysia nyanyian Altimet yang disesuaikan daripada lagu Ali Baba Dengan 40 Penyamun ciptaan P Ramlee.

Ia dilancarkan di atas pentas politik iaitu sewaktu program Rapat Mega PKR 2022 di Ampang.

Altimet

Namun lagu yang sama tiba-tiba digunakan oleh PN dalam kempen pilihan raya mereka. Padahal lagu itulah yang digunakan PH sebagai agenda propaganda secara meluas sehingga menjadi tular di sepanjang kempen PRU ke-15 dulu.

Kalau hujah dilawan dengan hujah dan tulisan dilawan dengan tulisan, maka tidak ada sebab mengapa lagu propaganda musuh tidak boleh dilawan dengan lagu juga.

Sekiranya kerajaan perpaduan mahu teguh bertahan, maka gerakan melawan lagu propaganda pembangkang ini harus dilakukan segera.

Gunakan saja lagu propaganda yang parti pembangkang dendangkan tetapi tukarlah liriknya untuk menjawab segala fitnah dan salah tanggapan dibingkaikan mereka.

Kini sudah ada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh menghasilkan sebuah lagu hanya dalam tempoh seawal 3 minit. Justeru tidak ada sebab untuk Putrajaya memberikan sebarang alasan untuk berkata tidak.

Sebaliknya penggunaan sekatan dan pengharaman bahan yang tidak sealiran - termasuk di media sosial - adalah tindakan yang tidak Madani. Lebih daripada itu, ia adalah langkah politik yang ‘tidak jantan.’


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Dia juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.