Skip to main
Logo Malaysiakini

Kembali berlakon ibarat peluang kedua buat Hafidz Roshdi

Pelakon Hafidz Roshdi meluahkan rasa syukurnya kerana ibarat diberi peluang kedua apabila akan kembali berlakon selepas hampir setahun tidak menerima sebarang tawaran.

Jelas Hafidz, dia bakal membintangi sebuah drama bersiri terbitan Global Film Station Sdn Bhd untuk siaran platform Viu.

“Alhamdulillah hampir setahun tidak dipanggil berlakon, jadi apabila dapat tawaran ini saya betul-betul gembira.

“Ini seperti titik tolak untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan.

“Saya juga sudah bersedia untuk rancakkan karier seni sekiranya mana-mana produksi perlukan khidmat saya, semoga masih ada produksi percaya hasil kerja saya,” katanya dalam sesi bersama media di Shah Alam, hari ini.

Menurut Hafidz, 29, dia pernah ditawarkan watak untuk sebuah drama tetapi kemudian dimaklumkan namanya tidak diluluskan stesen televisyen.

“Saya anggap tidak ada rezeki saja. Saya juga tidak persoalkan kenapa saya tidak dipilih,” katanya.

Sebelum ini, kontroversi rumah tangga Hafidz dengan bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri mengundang perhatian ramai hingga mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz kemudian bernikah kali kedua dengan Athira Yuhada pada 15 Disember tahun lalu.

Pelakon drama Tundukkan Playboy memberitahu dia masih meneruskan kerja sebagai penghantar barang untuk sebuah syarikat penghantaran sekiranya tiada penggambaran.

Katanya Hafidz lagi, dia bahkan langsung tidak tertekan walaupun ada kala merasai cabaran untuk menyara kehidupan, dengan kenaikan harga barang dan minyak.

“Saya bekerja keras buat e-haling, jadi baru saya tahu bagaimana dirasakan orang lain.

“Selama ini saya hanya dengar cerita, jadi sekarang baru tahu macam mana.

“Pekerjaan ini saya anggap antara terapi yang baik sebab dapat berbual dan berjumpa ramai orang,” katanya lagi.