Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar ajak orang ramai hadir, hayati teater Haji Murat

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Perdana Menteri mengajak orang ramai bersama-sama hadir dan menghayati pementasan teater Haji Murat yang akan dipentaskan selama empat hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur mulai Rabu ini.

Anwar Ibrahim berkata teater berdasarkan novela penting dan karya terakhir sasterawan ulung Rusia, Leo Tolstoy, itu ternyata mengesankan tatkala ia menekankan betapa perang dan kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak jahat lagi khianat.

“Tolstoy berjaya mewujudkan rasa dan sikap simpatetik, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam yakni Haji Murat, terutama pada saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan (politics of dispossession) yang kini berterusan di Palestin,” katanya dalam hantaran di media sosialnya.

Karya yang berasal dari novel pendek tulisan Tolstoy itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penggiat sastera dunia, Victor Pogadaev, sebelum disunting Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.

Ia kemudian diterbitkan DBP pada 2001.

Karya berkenaan mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa ditulis berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851.

Ia melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia - yang pernah ditentangnya - kerana ingin membalas dendam.

Anwar berkata novela mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara itu pernah dibawanya ketika mengajar di AS sebelum ini.

Ketika itu, kata perdana menteri, orang ramai membicarakan soal Islamofobia dan terorisme pascaserangan 9/11.

“Haji Murat ialah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut.

"Mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Rusia yang dikepalai Tsar Nicholas I, dan berlakunya pertembungan di antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta.

"Watak Haji Murat adalah watak yang tersepit di antara dua kekuasaan yang zalim, dan bertindak semata dalam menyelamatkan keluarganya,” kata Anwar.

Pementasan perdana teater Haji Murat yang diarahkan A Wahab Hamzah itu diuruskan Badan Budaya DBP.

Ia melibatkan sekitar 100 pelakon termasuk nama-nama gah dalam seni teater seperti Che Kem, Rusdeen Suboh dan Ard Omar.

- Bernama