Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | 'LSS best sia!'

KOMENTAR | Pada Sabtu malam lalu, ada kesempatan untuk menyaksikan Lambang Sari Series 2 Symphony Spectacular di Panggung Eksperimen Universiti Malaysia. Ia dianjurkan oleh Istana Budaya.

Konsert mini selama satu setengah jam tersebut melibatkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang menjadi salah sebuah kumpulan orkestra di bawah pengurusan Istana Budaya.

OSK telah wujud di negara ini sejak lebih 30 tahun lalu dan sering dijemput untuk membuat persembahan di luar negara, Antaranya di Berlin, London, Jepun dan Thailand.

Orkestra itu mempunyai senarai persembahan yang meluas sejak 1993 meliputi opera, klasikal dan pop seperti Giselle Nutcracker (dengan Bolshoi Tashkent), Opera - Carmen R Casteels, Music of the Night, Video Games Live dan Harry Potter & The Philosopher’s Stone.

Selain terlibat dalam beberapa konsert diraja, OSK juga pernah mengiringi artis-artis terkemuka dalam persembahan mereka. Misalnya Richard Clayderman, Kris Dayanti, Siti Nurhaliza, Wings, Yuna dan Anuar Zain.

Pada 2018, OSK mula mengadakan konsert mini dengan jenama Lambang Sari Series (LSS) sebagai pengisian pakej lawatan berpandu Istana Budaya yang ingin mempromosikan produk-produk jabatan tersebut kepada pengunjung sama ada tempatan atau antarabangsa.

Matlamat penganjuran Lambang Sari Series juga menyasarkan kepada peningkatan penonton baru termasuk dalam kalangan Gen Z, peminat umum dan juga kutu agar mereka menyaksikan persembahan orkestra simfoni secara langsung di panggung Istana Budaya.

Bermula dengan empat siri persembahan pada 2019 dan dua yang sempat dipentaskan sebelum dan selepas pandemik Covid-19, LSS diterima baik oleh peminat seni muzik.

Namun berikutan beberapa perubahan dasar, LSS tidak tersenarai dalam kalendar persembahan dan keadaan itu berpanjangan sehinggalah keadaan berubah pada tahun lalu.

Justeru, berbekalkan peluang yang diberikan, pengarah dan juga konduktor OSK Nasran Nawi bersama pasukannya membuat perubahan dengan mementaskan empat siri LSS di panggung yang lebih besar.

Bermula pada tahun lalu juga, persembahan tersebut mengenakan bayaran masuk serendah RM30.

Kejayaan penjualan tiket untuk keempat-empat siri tersebut dalam tempoh yang singkat menjadikan OSK bersemangat.

Kerana itu ada lima lagi Lambang Sari Series dirancang untuk tahun ini.

Siri pertama, Resilience & Triumph, bersama penampilan istimewa pemain piano Muzaffar Abdullah diadakan di Dewan Filharmonik Petronas pada 18 Mei lalu.

Ia berlangsung dengan kehadiran 652 penonton.

Impinkan sebuah negara maju

Dan di Panggung Eksperimen, hampir 600 orang termasuk pelajar universiti datang menonton kedua-dua persembahan Symphony Spectacular yang menampilkan Scarlet Gouk, pemain saksofon yang pernah menjuarai kategori solo pertandingan saksofon peringkat Asia Pasifik pada tahun pertama penganjurannya.

Scarlet memainkan empat lagu di bawah bimbingan konduktor Eric Lee bersama 75 pemuzik termasuk jemputan.

Dia turut memainkan lagu Four Pictures From New York ciptaan Roberto Molinelli yang mengandungi empat pergerakan iaitu dreamy dawn, tango club, sentimental evening dan broadway night.

Secara keseluruhannya, jumlah penonton untuk konsert mini LSS yang telah diadakan sebanyak 10 kali adalah seramai 7,750.

Walaupun jumlah itu mungkin kelihatan kecil, ia bolehlah diambil sebagai ukuran kehadiran pengunjung baru yang berkualiti berbanding sambutan terhadap penganjuran konsert sebegitu sebelum ini.

Data tersebut boleh sahaja dijadikan sebab utama untuk mana-mana pihak memberi sokongan kepada OSK yang turut berkongsi keinginan sama seperti kerajaan dan badan swasta: mengimpikan sebuah negara maju yang berbudaya.

Dengan harga tiket yang berpatutan, penganjuran LSS memberi peluang kepada setiap golongan masyarakat untuk menikmati alunan muzik simfoni Beethoven atau Mozart yang pada asalnya dikatakan untuk hiburan di istana.

Pada masa yang sama, LSS juga memberi kesempatan kepada masyarakat umum untuk mengenali alat muzik klasikal Barat.

Pujian juga wajar diberikan kepada Istana Budaya atas keterbukaan mereka menguruskan perancangan persembahan tahunan dengan mengambil kira aspek kepelbagaian dan tiada pilih kasih.

LSS siri ketiga hingga kelima akan diadakan di Melaka, Johor, Kuala Lumpur, dan semua dak-dak Gen Z, peminat umum dan juga kutu diseru untuk datang menonton.

Besar kebarangkalian bahawa pendedahan terhadap simfoni orkestra yang dirasai hari ini akan memberi pengertian berbeza dan persepsi yang baru pada masa akan datang.


NURUL LATIFATULLALLIZA ANUAR ialah penggemar konsert dan pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.