Skip to main
Logo Malaysiakini

Pensyarah UM pertahan pelantikan Siti Nurhaliza

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM), Mohamad Saleeh Rahamad berkata, tiada masalah sekiranya penyanyi terkenal Siti Nurhaliza dilantik sebagai pakar Pusat Pendidikan Berterusan atau Universiti Malaya Centre for Continuing Education (UMCCed).

Saleeh berkata, hal itu kerana pusat berkenaan bukannya mengeluarkan ijazah malahan Siti Nurhaliza tidak terlibat dalam urusan akademik melainkan yang berkaitan dengan kepakarannya dalam bidang seni suara.

“Siapakah penyanyi nombor satu di negara ini sehingga diterima secara meluas di peringkat antarabangsa? Di negara jiran pun Siti Nurhaliza sangat terkenal.

“Seorang profesor belum tentu benar-benar pakar dalam bidangnya. Mungkin dia bernasib baik kerana bekerja di sebuah universiti yang ringan syarat kenaikan grednya.

“Jangan ingat semua pemegang PhD (doktor falsafah) atau profesor di pelbagai universiti sama taraf kepakarannya,” katanya.

Tambah Saleeh yang juga ketua Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), UMCCed perlu menjana kewangannya, justeru dari segi penjenamaan, nilai imej yang dibawa Siti Nurhaliza disifatkan sangat besar.

Katanya, orang industri yang pakar sebagai pengamal bidang sangat diperlukan sebagai pelengkap kepada kurikulum rasmi UM.

“Kampus UMCCed di Cyberjaya bukan di kampus pusat UM. Tarafnya tidak sama dengan matrikulasi atau asasi.

“Kepakaran tidak ditentukan oleh ijazah, dan ijazah tidak menentukan kepakaran.

“Di UM, memang ada program Elite yang melantik seseorang tanpa ijazah tetapi pakar dalam bidangnya untuk memberikan kuliah sesekali secara jemputan,” katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.

Menurut Saleeh, UM juga mempunyai jurulatih industri yang dilantik dalam kalangan pakar yang mempunyai kelulusan tetapi hanya sesekali memberi ceramah.

Sejak semalam muncul polemik di media sosial berhubung poster memaparkan Siti Nurhaliza sebagai lantikan pakar di UMCCed.

Menurut poster berkenaan lantikan Siti Nurhaliza untuk jawatan itu adalah untuk tempoh dua tahun.

Di platform media sosial, segelintir pihak mempertikaikan mengapa penyanyi Bicara Manis Menghiris Kalbu itu dilantik sebagai pakar di UMCCed kerana dianggap tidak memiliki kelayakan yang sepatutnya.

Saleeh berkata, dengan meletakkan Siti Nurhaliza sebagai antara barisan penceramah, ia boleh memberi nilai tambah berbeza selain membawa keseronokan kepada pelajar.

Katanya, ia disebabkan pengalaman dimiliki penyanyi itu dalam industri selama ini.

“Pelajar akan khusyuk semasa Siti Nurhaliza meyampaikan ceramah -bukan kuliah ya - berbanding dengan penceramah pakar lain yang ada ijazah seni nyanyi, ” katanya.

Selain itu menurut Saleeh, UM pernah melantik beberapa nama tokoh lain misalnya penulis yang menghasilkan karya kreatif sebagai Karyawan Tamu di pusat pengajian berkenaan.

“Kami pernah melantik S Othman Kelantan, Abdullah Hussain dan A Samad Ismail,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi UMCCed untuk maklum balas berhubung isu berkenaan.