Skip to main
Logo Malaysiakini

Altimet tawar separuh kutipan royalti untuk bayar denda Selangor FC

Altimet sanggup menawarkan separuh daripada kutipan royalti harta inteleknya untuk membayar denda Selangor Fan Club (FC) susulan penarikan diri pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Rapper dan komposer itu mengumumkan perkara itu melalui platform media sosialnya hari ini.

“Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ni, jika SFC sudi,” katanya.

Altimet yang juga Adun Lembah Jaya itu mengiringi hantaran berkenaan dengan memuat naik link artikel sebuah portal berhubung hukuman dikenakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terhadap Selangor FC hari ini.

MFL dalam kenyataannya berkata, Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lalu.

Skuad Gergasi Merah itu juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC menentang JDT akan berlangsung tanpa penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

MFL juga berkata sekretariatnya dan JDT akan mengumpul maklumat dan kos kerugian akibat penarikan diri itu dan menyerahkannya kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan lanjut.

Bagaimanapun, MFL tidak menyatakan tarikh berkuat kuasa kesemua denda berkenaan dan sekiranya Selangor boleh membuat rayuan.

Selangor FC terpaksa menarik diri daripada aksi Sumbangsih menentang JDT pada 8 Mei lalu susulan insiden jenayah serta ancaman membabitkan beberapa pemainnya.

Ia terutama selepas pemain sayap mereka Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei lalu.